RAUB – Seramai 244 pejuang yang menentang Tentera Jepun dalam era Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu diabadikan pada Tugu Peringatan Force 136 Pahang di Kem Puncak Mas, Raub hari ini.
Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah berkata, mereka terdiri daripada 27 pegawai dan 217 lain-lain pangkat yang merupakan pengasas pembentukan Rejimen 505 Askar Wataniah di negara ini.
“Tujuan Tugu Peringatan Force 136 Pahang ini dibina di Kem Puncak Mas, Raub adalah bagi memperingati pejuang-pejuang tanah air yang terdiri daripada anak-anak watan negeri Pahang.
“Perasmian Tugu Peringatan Force 136 Pahang Rejimen 505 Askar Wataniah ini disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah,”katanya pada majlis petasmian Tugu Force 136 di Kem Puncak Emas Mas,Raub hari ini.
Mengimbas kembali sejarah Force 136, beliau memberitahu pasukan itu ditubuhkan pada 16 Mac 1944 adalah nama samaran kepada operasi sulit yang bertujuan melakukan perisikan dan sabotaj terhadap tentera Jepun.
Katanya, pada 1 Disember 1945 Force 136 dibubarkan selepas tentera Jepun menyerah kalah dan anggota Force 136 dikekalkan sebagai askar Wataniah.-KOSMO! ONLINE