fbpx

Hospital mungkin hadiah terakhir untuk Rembau – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy ketika membuat lawatan kemudahan serta pesakit sempena Majlis Perasmian Hospital Rembau, di sini, hari ini. - NOR AINNA HAMZAH

REMBAU – “Mungkin hadiah terakhir saya buat Parlimen Rembau…,” seloroh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika berucap sempena Majlis Perasmian Hospital Rembau, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Hospital Rembau yang hanya berstatuskan hospital daerah sebelum ini akan dinaik taraf kepada Hospital Pakar Minor.

Menurutnya, langkah itu adalah mengambil kira kesesakan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban yang menerima pesakit terlalu ramai.

“Dengan naik taraf ini, penduduk akan menerima rawatan kepakaran di sinI, memendekkan tempoh masa pesakit untuk menerima rawatan pakar. Sejajar dengan itu, KKM akan melengkapkan dewan bedah kedua di hospital ini dengan peralatan baharu melibatkan anggaran kos RM 9 juta.

“Satu unit mesin CT Scan akan diberikan kepada Hospital Rembau dan penempatan pakar pula akan dilaksanakan secara berfasa dalam bidang radiologi, pembedahan, ortopedik, anestesiologi, pediatrik, obstetrik dan ginekologi,” katanya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin memberitahu, pihaknya telah mengenal pasti 13 projek sakit di seluruh negara yang meliputi pelbagai jenis fasiliti di bawah kementerian berkenaan.

Ujar Khairy Jamaluddin, projek sakit berkenaan terdapat di pelbagai negeri membabitkan fasiliti seperti hospital, kuartes, klinik kesihatan dan lain-lain lagi.

“Sebagai contoh, sekarang ni kita berdepan projek sakit Hospital Papar (Sabah)… agak lewat progress tetapi dengan langkah-langkah KKM, langkah-langkah Jabatan Kerja Raya (JKR) kita telah berjaya mengurangkan kelewatannya.

“Jadi sekarang ni projek sakit di bawah KKM adalah 13 sedang dipercepatkan prosesnya melalui proses lantikan kontraktor penyelamat… sudah pun ditangani task force khusus,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI