KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita Pahang menamatkan penantian panjang selama 14 tahun untuk kembali dinobatkan sebagai juara Sukan Malaysia (Sukma) pada edisi 2022 kali ini.
Pingat emas itu diraih selepas Pahang mencatat kemenangan sensasi 2-1 ke atas juara bertahan, Selangor pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Kali terakhir Pahang memenangi pingat emas acara hoki wanita di pentas Sukma adalah sewaktu edisi 2008 di Terengganu.
Dalam aksi itu, Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Nur Atiqah Najwa Sutimi pada mi it ke-25.
Bagaimanapun, Selangor yang dikendalikan oleh Ikmal Abdul Jabar bangkit mengikat kedudukan 1-1 ketika permainan berbaki tujuh minit untuk tamat melalui pukulan sudut penalti Nur Irdina Asnida Mohd. Yusmi pada minit ke-53.
Hasrat Selangor untuk mengheret aksi ke penentuan penalti shoot-out tidak kesampaian apabila Pahang berjaya meledak gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan.
Wan Norfatihah Md. Saiuti muncul wira buat skuad bimbingan Mohd. Sabri Mohamad itu dengan jaringan padang pada minit ke-60.
“Saya percaya pasukan ini boleh lakukan sesuatu (menang pingat emas) walaupun bertemu Selangor sebagai juara bertahan.
“Salah satu faktor kejayaan kami dapat gol kemenangan pada minit terakhir selepas saya melihat pemain-pemain Selangor mula kelihatan dalam baki enam minit terakhir,” kata Sabri selepas tamat aksi itu.
Sementara itu, tempat ketiga pula berjaya dimenangi oleh Wilayah Persekutuan selepas menewaskan Pulau Pinang 4-1 dalam penentuan pingat gangsa. – KOSMO! ONLINE