BINTANG skuasy negara, Aifa Azman langsung tidak menyesal dengan keputusannya menarik diri dalam acara perseorangan wanita untuk memberikan fokus kepada saingan beregu wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Ketiadaan Aifa, 20, menyaksikan dominasi Kedah dalam dua edisi perseorangan wanita lebur kali ini selepas adiknya, Aira, 17 tewas kepada Chan Yiwen dari Wilayah Persekutuan pada penentuan pingat emas, Selasa lalu.
Pemain ranking ke-24 dunia itu menarik diri kerana kecederaan ibu jari kanan yang dialaminya sewaktu aksi separuh akhir Sukan Komanwel Birmingham 2022 bulan lalu.
Aifa yang berasal dari Alor Setar, Kedah menganggap pengorbanannya berbaloi dan bermakna kerana berjaya merangkul pingat emas bersama Aira bagi acara beregu wanita.
Aifa-Aira dinobatkan sebagai pemenang selepas menewaskan beregu Sabah, Wen Li Lai-Yee Xin Ying 11-10, 11-6 pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil semalam.
“Walaupun kami baru berlatih minggu lepas tetapi keserasian kami boleh dikatakan agak mantap dan itulah faktor utama kemenangan kami,” kata Aifa yang sudah menggondol tiga pingat emas Sukma dalam kariernya.
Pingat gangsa beregu wanita pula menjadi milik pasangan Wilayah Persekutuan, Noor Ainaa Amani Ampadi-Chan Yiwen selepas menang 11-3, 11-5 ke atas satu lagi beregu Kedah, K. Sehveetrraa-Wong Heng Wai.