PETALING JAYA – Polis Shah Alam mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berhubung dakwaan anaknya didera ala militan di sebuah madrasah di daerah itu pada 20 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, bertindak atas laporan dibuat, pihaknya memanggil kesemua pihak yang terlibat termasuk saksi kes tersebut bagi membantu siasatan.
“Siasatan penuh berhubung kes ini akan diumumkan pada Isnin ini. Setakat ini, polis sudah memanggil pihak yang terlibat temasuklah penghuni madrasah untuk memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan, mangsa yang mahu dikenali sebagai Hariz, 20, mendakwa, dia memasuki madrasah tersebut pada April lalu untuk menjalani rawatan kerana mengalami gangguan.
“Pada mulanya memang terdapat ilmu agama yang diterapkan kepada penghuni seperti solat berjemaah dan zikir.
“Namun tidak lama kemudian pihak madrasah bertindak kasar terhadap saya tanpa sebab dengan meletakkan saya di sebuah bilik seperti penjara hampir sebulan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini..
Pemuda itu mendakwa beberapa penghuni lain turut menjadi mangsa pihak pengurusan madrasah tersebut.
Dalam pada itu, pihak madrasah terbabit dalam satu kenyataan menafikan dakwaan berlakunya kes penderaan ke atasnya penghuninya selain menyokong aktiviti militan.
“Selain menekankan ilmu agama, madrasah ini turut melaksanakan program pemulihan dan perlindungan, terhadap individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta masalah sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE