BEREGU skuasy lelaki Kelantan, Muhammad Amir Amirul Azhar dan Wee Ming Hong mencipta sejarah baharu apabila menghadiahkan pingat emas pertama negeri itu dalam sukan berkenaan di pentas Sukan Malaysia (Sukma) 2022.
Amir Amirul-Ming Hong melakar kejutan sensasi menewaskan beregu pilihan dari Kedah, Muhammad Hafiz Zhafri Abdul Harif-Ong Sai Hung 11-9, 5-11, 11-9 pada aksi final di Pusat Skuasy Nasional semalam.
Ia sekali gus menamatkan penantian panjang Kelantan selama 32 tahun untuk meraih pingat emas pertama di pentas Sukma sejak skuasy diperkenalkan pada 1990.
“Kami tak fikir banyak sebab tak mahu letakkan tekanan tinggi kepada diri sendiri. Biar apa pun berlaku, kami cuma nak main permainan sebenar.
“Kami tak jangka mampu sampai ke tahap ini tetapi apabila sudah ke final, kami cuba untuk memenangi emas. Ini adalah pingat emas pertama buat Kelantan,” kata Ming Hong.
Ia sememangnya kejayaan manis buat Amir Amirul dan Ming Hong ke atas beregu Kedah yang merupakan pemenang pingat emas (Sai Hung) dan perak (Hafiz Zhafri) acara perseorangan lelaki.
Kejayaan tersebut pastinya amat diraikan kontinjen Kelantan memandangkan negeri dari Pantai Timur itu bakal menganjurkan Sukma edisi ke-22 pada 2026 nanti.
Pingat gangsa beregu lelaki pula dimenangi wakil Negeri Sembilan, Darren Rahul Pragasam dan Sanjay Jeeva selepas menewaskan rakan sepasukan, Ameeshenraj Chandaran serta Shamiel Hayezad Sharulhisam 11-10, 11-9.