PERTAHANAN negara, La’Vere Corbin-Ong sedia melakukan apa saja untuk menghadirkan keputusan positif buat Harimau Malaya dan seluruh pemain turut miliki keazaman sama untuk menterjemahkan perancangan jurulatih.
Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu meledak gol pertama Malaysia dan menyempurnakan sepakan penalti kelima Harimau Malaya untuk memastikan kemenangan 5-3 ke atas Thailand selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa permainan sebenar.
“Terima kasih kepada penyokong Malaysia, jurulatih dan kelab yang benarkan kami sertai pasukan negara. Begitu juga buat TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) yang benarkan saya wakili pasukan negara.
“Pemain lain juga tahu kerja yang perlu kami lakukan dan seluruh pasukan kena hadapi apa juga situasi. Sebagai pemain profesional, kami kena atasi segala tekanan yang terpaksa dihadapi.
“Jurulatih sudah ada perancangan buat pasukan. Secara jujurnya, saya akan cuba sehabis baik untuk bantu pasukan,” katanya pada sidang media sejurus tamat perlawanan kelmarin.
Corbin-Ong membuka jaringan pada minit ke-32 selepas menyambut hantaran menarik Safawi Rasid, namun hasrat negara raih kemenangan dalam tempoh 90 minit tidak berhasil apabila Pansa Hemviboon meledak gol penyamaan Thailand pada masa kecederaan babak kedua.
Pada penentuan penalti, empat lagi pemain negara, Dion Cools, Syafiq Ahmad, Matthew Davies dan Declan Lambert begitu tenang untuk menyempurnakan sepakan sebelum Corbin Ong melengkapkan malam gemilang buat Harimau Malaya.