SHAH ALAM – “Saya telah diaibkan, saya telah dimalukan, malah saya telah ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan.”
Itu reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membidas pandangan umum menerusi the court of public opinion (mahkamah awam) yang seolah-olah telah menjatuhkan hukuman terhadapnya terlebih dahulu sebelum Mahkamah Tinggi membuat sebarang keputusan.
Ahmad Zahid, 69, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi di sini semalam yang melepas dan membebaskannya daripada 40 pertuduhan rasuah membuktikan beliau tidak pernah melakukan kesalahan itu.
Menurutnya, keputusan tersebut sekali gus membetulkan kembali tanggapan salah oleh pandangan umum terhadapnya sepanjang perbicaraan kes rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).
“Tetapi Alhamdulillah hari ini (semalam), Jumaat penghulu segala hari menyaksikan segala-galanya bahawa perundangan ditetapkan demi kebenaran,” katanya ketika ditemui selepas keputusan kes di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.
Berita berkaitan: Ahmad Zahid bebas, lepas 40 pertuduhan rasuah VLN
Terdahulu, Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam atas 40 pertuduhan rasuah berhubung VLN.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap semua pertuduhan di akhir kes pendakwaan itu.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, meskipun reda dengan ujian yang diberikan, namun beliau perlu terus istiqamah.
Sejak hari pertama pendakwaan, beliau amat yakin bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak pernah beliau lakukan.
Beliau juga yakin bahawa pelaksanaan perundangan telah diteliti dan diperincikan oleh mahkamah secara adil.