PASIR PUTEH – Beberapa premis dan wakaf untuk berehat di pinggir Terusan Semerak-Tok Bali di sini dipercayai menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian apabila sebahagian kawasan itu ditumbuhi semak samun sejak kebelakangan ini.
Difahamkan, kawasan yang jauh dari pandangan itu sering dimasuki penunggang motosikal yang bukan merupakan penduduk kampung atau kaki pancing yang sering berkunjung ke terusan itu.
Seorang pemancing, Shaharizal Ismail, 30, berkata, keadaan itu membimbangkan orang ramai terutamanya pemancing untuk berada bersendirian apabila wakaf yang tersorok dari pandangan umum sering menjadi tempat lepak sekumpulan pemuda yang disyaki penagih dadah.
Menurutnya, lokasi itu menjadi tumpuan kumpulan terbabit pada lewat petang dan awal pagi terutamanya pada malam Khamis atau awal pagi Jumaat.
“Sebahagiannya datang bersahaja dan tidur di wakaf berkenaan tanpa menghiraukan pengunjung lain pada hari-hari tertentu.
“Sekiranya pihak berkenaan tidak berupaya membangunkan semula kawasan itu, seeloknya kawasan yang dipenuhi semak samun perlu dibersihkan. Persekitarannya perlu diuruskan dengan sebaik mungkin,” katanya Kosmo! semalam.
Seorang lagi pemancing, Azmarizal Abdullah, 44, berkata, kebanyakan ruang premis sudah mengalami kerosakan apabila pintu kaca dipecahkan dan sebahagian besi dan aluminium sudah diumpil pencuri besi buruk.
“Mungkin kerja memotong aluminium ini dilakukan penagih untuk dijual bagi mendapatkan sumber kewangan membeli dadah,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyusun atur tindakan selanjutnya untuk membangunkan semula lokasi berkenaan.
Katanya, beliau juga bersetuju aktiviti gotong-royong awal dilaksanakan agar keindahan pinggir Sungai Tok Bali terus kekal.