fbpx

Duga kemahiran memancing ketika ‘air laut mati’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Memancing di perairan Pulau Pinang ini menjanjikan tangkapan ikan yang memuaskan.

MEMANCING ketika air laut mati adalah kelainan yang ditawarkan oleh Tekong Jambu atau nama sebenarnya Muhamad Nur Husaini Azme, 29.

Fenomena air laut mati adalah istilah semasa arus laut sangat perlahan atau tiada arus langsung.

Pada ketika itu, dia memilih untuk membawa pemancing menduga kemahiran masing-masing di sekitar perairan Pulau Kendi, Pulau Rimau dan kawasan kapal karam di perairan selatan Pulau Pinang.

Katanya, dia menggunakan kaedah kalendar Islam untuk melihat waktu air laut mati bagi membawa pemancing menduga kemahiran di laut lepas.

“Ilmu memancing ketika air mati diperoleh daripada keluarga yang merupakan nelayan di kawasan Permatang Damar Laut berhampiran George Town.

“Air mati berlaku dua kali dalam sebulan, begitu juga dengan air besar.

“Fenomena air mati terjadi pada setiap suku bulan pertama iaitu pada 7, 8 ,9, 10 dan 11 haribulan setiap bulan Hijrah.

“Selain itu, pada suku akhir bulan, iaitu 20, 21, 22, 23 dan 24 hari bulan Hijrah kita mendapati terdapat sifat-sifat air mati dan tarikh-tarikh ini menjadi petanda untuk saya membuka trip memancing,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Ikan-ikan daripada pelbagai spesies gred A yang terdapat di sekitar Pulau Kendi, Pulau Rimau dan kawasan sekitar turut berada dalam keadaan ‘rileks’ dan kelihatan jinak sewaktu fenomena itu.

“Semasa kemuncak air mati, air laut biasanya sangat jernih, kerana dasar laut tidak dilanda arus laut yang kuat.

“Ombak tidak kuat, malah langsung tidak berombak dan keadaan di laut tenang tidak ubah seperti suasana air tasik.

“Keadaan ini sangat sesuai untuk memancing, terutama bagi mereka yang mahu memburu spesies disebut ‘ikan separuh air’ seperti kerapu, jenahak, gerut-gerut dan senangin,” katanya.

Pemancing yang mengikuti trip memancing sekitar Pulau Kendi jarang pulang tangan kosong.

Menurutnya, antara kelebihan memancing ketika air mati adalah ikan-ikan juga tidak begitu aktif.

Keadaan ini, ditambah dengan faktor air jernih, ikan akan lebih mudah melihat umpan yang ‘dimainkan’ oleh pemancing.

“Selalunya teknik yang sesuai ketika itu adalah jigging knock bottom atau dalam bahasa yang selalu digunakan pemancing, ‘main ketuk-ketuk lantai’.

“Teknik ini terbukti efektif di kawasan Pulau Kendi untuk memburu jenahak dan kerapu kerana kedua-dua spesies ini suka berlegar-legar rapat di dasar.

“Ketika air mati, spesies ini lebih mudah diperoleh kerana dasar yang lebih jernih dan ikan turut mudah terkena umpan,” katanya.

Tambahnya, terdapat dua cara mudah melakukan ‘teknik ketuk-ketuk lantai’ itu yang terkenal dalam kalangan pemancing yang sering memancing di perairan Pulau Kendi.

“Kepingan slow jig perlu dijatuhkan sehingga ke dasar. Selepas itu, lakukan satu atau dua karauan penuh pada kekili sebelum melepaskan jig kembali ke dasar.

“Pemancing perlu mengulangi proses tersebut sehingga mendapat sentapan pada jig.

“Satu lagi cara adalah dengan hanya mengangkat dan menurunkan joran seperti bermain ‘yo-yo’ tanpa melakukan karauan.

“Teknik ini mudah dilakukan, cuma pemancing perlu pastikan jig mencecah dasar sebelum mengangkatnya kembali sehingga ikan berjaya ditangkap,’’ katanya.

Ikan kurau juga pernah dijinakkan pemancing yang mengikuti trip Tekong Jambu.

Menurutnya lagi, apa yang paling utama adalah jig yang dikarau atau diangkat perlu sentiasa berada di sekitar radius 0.3 hingga 0.9 meter dari paras dasar.

Selain itu, Tekong Jambu berkata, teknik drifting atau menghanyutkan umpan juga sesuai digunakan ketika memancing di laut semasa fenomena air mati.

“Teknik ini biasanya digunakan untuk memburu ikan yang berada di permukaan dan pertengahan air.

“Pemancing biasanya menggunakan ikan hidup sebagai umpan dan antara spesies ikan yang sering dijadikan umpan ialah selar, tamban atau kembung,’’ katanya.
Tekong Jambu memberitahu, cara memancing menggunakan teknik drifting adalah umpan hidup dibiarkan berenang menjauhi bot menuju spot tertentu, sambil menunggu ikan yang akan menjadi mangsa.

“Belon biasanya diikat pada tali utama agar ikan tidak berenang jauh ke bawah.

“Pemancing perlu menggunakan batu ladung kecil sekiranya arus deras bagi mengelakkan umpan terapung di permukaan air,” katanya.

Tekong Jambu yang menawarkan perkhidmatan membawa pemancing secara sambilan berkata, kos untuk menyewa bot pancing yang ditawarkannya adalah RM550.

Ia katanya, boleh memuatkan sekitar enam orang pemancing pada satu-satu masa.

Bagi mereka yang berminat untuk memancing ketika air laut mati, boleh menghubungi nombor telefon 011-1002 2164.

Selain itu, mereka juga boleh meninjau Facebook Tekong Jambu untuk maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI