fbpx

Terlantar 20 tahun akibat sakit saraf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. FAIZAL menjaga abangnya, Mohd. Shaiful yang terlantar akibat sakit saraf di Kampung Belukar, Pulai Chondong, Machang semalam.

Oleh BAHRUDDIN HATTA

MACHANG – Seorang lelaki kini hanya mampu terlantar di atas tilam di rumahnya di Kampung Belukar, Pulai Chondong di sini akibat sakit saraf selepas dia terlibat dalam kemalangan jalan raya lebih 20 tahun lalu.

Kesihatan Mohd. Shaiful Mohd. Makhtar, 41, semakin merosot sejak empat tahun lalu sehingga dia terpaksa mengharap­kan bantuan adik-beradiknya untuk menguruskan dirinya, selain sering mengalami kekejangan pada bahagian kaki dan tangan.

Adik Mohd. Shaiful, Mohd. Faizal, 36, berkata, abangnya mengalami sakit saraf selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan tulang pahanya terkeluar dan terpaksa menerima rawatan Hospital Machang hampir sebulan ketika dia berusia 19 tahun.

Katanya, keadaannya semakin merosot empat tahun lalu dan dia bersama dua orang adik­nya mengambil tugas memberi makan, menukar lampin dan memandikan abangnya.

“Kami bukan orang senang, ada antara adik-beradik kami yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan wang itu digunakan untuk membeli lampin pakai buang abang.

“Kami terpaksa menggunakan dua lampin dalam sehari walaupun tahu keperluan menukarnya adalah tiga ke empat kali sehari.

“Ia bertujuan untuk mengurangkan kos sehingga kadang-kadang lampin yang digunakan penuh,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Terdahulu, Mohd. Shaiful menerima kunjungan daripada wakil Kelab Kebajikan dan Kesukarelawan Sosial (KELSS), Akidi Hamid yang menyampaikan sumbangan tilam, lampin pakai buang dan sumbangan wang tunai kepada Mohd. Shaiful.

Menurut abang Mohd. Shaiful, Mohd. Badri, 46, adiknya itu ha­nya mampu baring di ruang tamu rumah dan dia bimbang kerana keadaan lantai papan rumah yang semakin usang.

“Rumah ini sudah berusia le­bih 30 tahun. Kami tidak cukup wang untuk membaikinya kerana hanya kerja kampung,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkannya melalui akaun Agrobank Mohd. Shaiful Mohd. Makhtar 2006672000069299 atau ­menghubungi abangnya, Mohd. Badri di talian 013-792 7258.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI