fbpx

Penjenayah Malaysia, Fat Leonard diberkas pihak berkuasa Venezuela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Francis ditangkap ketika cuba menaiki pesawat menuju ke negara lain. - AFP

CARACAS, Venezuela – Pihak berkuasa Venezuela berjaya menahan seorang pelarian rakyat Malaysia, Leonard Glenn Francis yang lebih dikenali sebagai ‘Fat Leonard’ selepas hilang pada 4 September lalu, lapor akhbar The Straits Times semalam.

Menurut saluran berita NBC News, Francis yang dilahirkan di Pulau Pinang, diberkas selepas pihak berkuasa Venezuela menyekatnya ketika dia cuba menaiki pesawat menuju ke negara lain.

Pihak berkuasa Venezuela telah dimaklumkan bahawa suspek sedang melarikan diri daripada Polis Antarabangsa (Interpol), kata Perkhimatan Marsyal Amerika Syarikat (USMS) kepada NBC.

Francis, 58, berada di bawah tahanan dalam rumah di San Diego, California. Suspek beberapa minggu lagi akan menerima hukuman selepas mengaku bersalah pada 2015 kerana memberi rasuah bernilai AS$35 juta (RM160 juta) kepada pegawai Tentera Laut AS.

Suspek melarikan diri sejak memotong gelang GPS di buku lalinya pada 4 September lalu. Menurut poster pencarian oleh USMS, Francis mempunyai berat badan 158 kilogram dan tinggi 187 sentimeter.

USMS menawarkan ganjaran AS$40,000 (RM182,860) untuk sesiapa yang menangkapnya.  

Francis dikatakan memulakan kegiatan merasuah tentera AS apabila dia dijemput ke sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan oleh Kedutaan AS di Malaysia di mana dia bertemu pegawai tentera laut dan pegawai lain.

Pada 6 September lalu, Francis dilaporkan melarikan diri, tiga minggu sebelum dia sepatutnya memulakan hukuman penjara selama 25 tahun.

Menurut pendakwa raya, pegawai Tentera Laut AS diberi makanan mahal, bilik hotel mewah dan hiburan oleh pelacur yang dibayar oleh Francis. 

Mereka menerima rasuah untuk memberinya maklumat sulit selain menyalahgunakan kuasa untuk memastikan kapal yang berlabuh di pelabuhan diselenggara oleh syarikatnya yang berpangkalan di Singapura, Glenn Defense Marine Asia.

Syarikat itu didakwa mengenakan bayaran berlebihan kepada Tentera Laut Amerika Syarikat sebanyak lebih AS$35 juta (RM160 juta). Sepuluh agensi negeri dan tempatan persekutuan AS telah diarahkan untuk memburunya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI