fbpx

Remaja mahu letup reaktor nuklear kampus universiti jika pasukan bola sepaknya kalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Remaja itu memuat naik gurauan letupan di sebuah aplikasi media sosial YikYak. - Google

SALT LAKE CITY, Utah- Gurauan seorang penuntut Universiti Utah yang mengugut mahu meletupkan reaktor nuklear di kampus institusi pengajian tinggi berkenaan jika pasukan bola sepak Amerika Universiti Utah tewas membawa padah apabila dia ditahan polis, lapor stesen penyiaran NBC semalam.

Pelajar berusia 21 tahun itu memuat naik ‘ugutan’ tersebut dalam  aplikasi media sosial, Yik Yak.

Pihak polis universiti menerusi satu kenyataan mengenal pasti pelajar terbabit sebagai Meredith Miller.

“Pada Sabtu, 17 September 2022, Jabatan Polis Universiti Utah  dimaklumkan bahawa seorang individu menghantar mesej di Yik Yak yang berbunyi: “Jika kita tidak menang hari ini, saya akan meletupkan reaktor nuklear di kampus”.

“Suspek mengaku menyiarkan kenyataan itu dan ditahan serta dibawa ke Penjara Daerah Salt Lake. Dia didakwa kerana membuat ugutan pengganas,” kata pegawai.

Menurut wakil universiti, Miller mendakwa bahawa statusnya hanyalah sekadar gurauan,  namun polis Utah tidak menerimanya sebagai alasan untuk mengeluarkan ancaman serius seperti itu.

“Kami mempunyai dasar toleransi sifar untuk ancaman seperti ini,” kata ketua polis tempatan, Jason Hinojosa.

Tambah Hinojosa, reaktor nuklear universiti itu berada dalam keadaan selamat dan polis mempunyai protokol unik untuk menangani sebarang pencerobohan.

Jurucakap universiti memberitahu bahawa Universiti Utah menawarkan program kejuruteraan nuklear yang menjawab persoalan mengenai mengapa terdapat reaktor dalam kawasan kampus.

 Menurut Jabatan Tenaga, Universiti Utah adalah salah satu daripada kira-kira 25 universiti yang memiliki reaktor nuklear.

Seorang wakil Pejabat Syerif Daerah Salt Lake berkata,  pelajar itu tidak lagi dipenjarakan selepas membayar ikat jamin yang jumlahnya  tidak didedahkan. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI