fbpx

Penat berlatih, akhirnya kecundang angkara doping

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acara angkat berat di Sukma tercemar dengan isu doping. - Gambar hiasan

BARU-BARU ini penulis menyaksikan sebuah drama televisyen mengenai seorang atlet luncur ais wanita yang berusaha keras untuk terpilih ke dalam skuad kebangsaan, sekali gus boleh menyertai Sukan Olimpik.

Malangnya, ketika bersaing pada kelayakan bagi mendapatkan slot, berlaku kemalangan hingga menyebabkan paha kanannya terluka oleh bilah kasut luncur pesaingnya hingga memerlukan 12 jahitan.

Bagi menyerlahkan kehebatan plot dan watak drama itu, atlet wanita berkenaan sanggup menerima 12 jahitan hidup-hidup tanpa disuntik anestesia atau ubat bius bagi mengelak sebarang kesalahan doping kerana masih ada saingan kelayakan perlu diharungi.

Meskipun sekadar drama yang sememangnya fiksyen, namun mesej disampaikan oleh watak jelas iaitu tegas mengelak sebarang bentuk doping yang mampu menghancurkan segala usaha dan penat lelah latihan serta masa depan sebagai atlet sukan.

Doping bermaksud pengambilan atau penggunaan bahan terlarang untuk mencapai peningkatan prestasi terutamanya dalam sukan.

Namun, apa sudah jadi dengan Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Terengganu apabila dua atletnya sah doping, manakala seorang lagi atlet dari Perlis pun turut ‘sangkut’ pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022?

Alasannya, doping disebabkan pengambilan ubat-ubatan di sebuah farmasi selepas salah seorangnya mengalami lelah dan kecederaan bahu ketika menjalani latihan pusat di Cameron Highlands pada Ogos lepas.

Mana perginya pegawai persatuan atau jurulatih? Apakah mereka tidak memeriksa atlet mengambil ubat-ubatan sedangkan hanya sebulan lagi Sukma akan berlangsung? Cuai, culas atau pandang remeh?

Seharusnya, mereka harus lebih sensitif dengan isu doping. Apakah mereka sudah lupa digugurkan daripada sukan teras negara pada tahun 2017?

Lebih mengejutkan, salah seorang daripada tiga atlet itu difahamkan berusia 16 tahun, usia yang sangat muda untuk terjebak dengan pengambilan bahan terlarang.

Masalah tiga atlet itu bukan terkena pada mereka sahaja, namun natijahnya ditanggung semua peserta Sukma 2022, ibarat seekor kerbau bawa lumpur, semuanya habis terpalit. Pada temasya dwitahunan edisi ke-20 ini, seramai 126 atlet angkat berat dari 14 negeri menyertai Sukma yang mempertandingkan 16 kategori.

Memburukkan lagi keadaan, Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mengambil pendirian ‘meninggalkan’ Sukma MSN 2022 berdasarkan ketetapan yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM sebelum ini. Ketiadaan PABM menyebabkan rekod kebangsaan yang dicipta pada Sukma tidak diiktiraf, sekali gus merugikan segala usaha dan latihan para atlet selama ini.

Justeru, penulis berharap MSN dan PABM dapat berbincang dengan lapang dada bagi meleraikan kekusutan sukan angkat berat agar atlet selebihnya boleh bersaing untuk memburu emas dan mencipta rekod baharu.

Kewajaran isu doping dalam sukan angkat berat perlu dilakukan ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berserak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI