Anak-anak merupakan amanah dari Allah SWT dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mendidik dan membesarkan mereka.
Bagaimanapun, wujud segelintir ibu bapa yang belum bersedia untuk menunaikan tanggungjawab tersebut, lalu mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan pasangan masing-masing memainkan peranan berkenaan.
Menerusi pengamatan penulis di media sosial baru-baru ini, wujud trend dalam kalangan isteri yang mengakui bahawa suami masing-masing tidak bertanggungjawab dan menyerahkan tugas mendidik dan menguruskan anak sepenuhnya kepada mereka.
Menurut mereka, si suami hanya mahu bersama anak-anak bagi aktiviti di luar seperti bersukan, makan angin atau makan di restoran.
Tanggungjawab seperti mendidik di rumah, menguruskan pakaian bahkan memandikan anak-anak yang masih kecil pula tidak mahu dilakukan suami masing-masing. Lebih malang lagi ada juga golongan bapa yang sudah mempunyai ramai anak langsung tidak pernah menguruskan bayi mereka.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Nasrudin Subhi berkata, perkembangan zaman turut mengubah peranan gender dalam sesebuah keluarga.
“Kalau di zaman dahulu, peranan wanita boleh dikatakan 100 peratus di rumah mengurus hal ehwal makan minum suami, anak dan rumah tangga, manakala tugas suami adalah untuk keluar mencari rezeki.
“Bagaimanapun, di zaman moden kini lebih ramai wanita yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya. Selain itu, kos sara hidup juga semakin meningkat telah memaksa kedua-dua suami isteri perlu bekerja untuk memberikan lebih keselesaan kepada kehidupan berkeluarga,” katanya.
Jelasnya, masalah akan timbul sekiranya si suami tidak pernah dididik dan dibiasakan untuk menjalankan tugas-tugas mengurus hal berkaitan rumah tangga seperti membasuh pinggan, menggunakan mesin basuh, menyidai baju, melipat baju dan membancuh air sewaktu membesar oleh ibunya.
“Hal ini berkemungkinan bahawa segala tugas tersebut dilakukan oleh pembantu rumah. Oleh yang demikian, apabila mendirikan rumah tangga segalanya diletakkan sepenuhnya di atas bahu si isteri.
“Jika tiada rundingan, maka si suami akan beranggapan isteri reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Beliau berkata, tahap kesabaran dan tolak ansur ada hadnya dan dalam perkara ini hanya masa yang menentukan.
Sementara itu, Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, seorang bapa seharusnya menunjukkan teladan yang baik kerana tingkah laku dipamerkan menjadi ikutan anak-anak.
Jelasnya, apabila seorang bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anaknya selain menunjukkan sikap tidak sepatutnya kepada isteri, ia berkemungkinan akan diterapkan dalam diri anak-anak yang kemudian melakukan perkara sama apabila mereka berumah tangga.
“Menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab membesarkan anak-anak terhadap isteri akan menyebabkan golongan itu menjadi stres.
“Disebabkan itulah kita dapat lihat banyak pasangan yang memilih untuk bercerai,” katanya.
Bukan itu sahaja, katanya, ada juga pengantin yang usia perkahwinannya baharu mencecah tiga hari tetapi isteri memilih jalan berpisah kerana sikap tidak bertanggungjawab si suami.
“Ini semua kerana si isteri tidak benar-benar mengenali pasangannya sewaktu bercinta dan selepas berkahwin, baharulah si suami menunjukkan sisi dirinya yang sebenar. Sebagai contoh, suami leka melayari aplikasi TikTok dan langsung tidak berkomunikasi dengan isteri,” katanya.