PUTRAJAYA – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin menyerahkan keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang kepada pucuk pimpinan termasuk mana-mana kawasan yang telah ditetapkan oleh parti.
Menurut Menteri Kanan Pendidikan itu, sebagai ahli Bersatu beliau hanya patuh dan mengikuti segala keputusan yang dikehendaki oleh parti.
“Seperti mana saya sebut sebelum ini berkaitan dengan tempat mana bertanding, apa sahaja yang ditetapkan oleh parti itu lah yang saya ikuti.
“Saya ini orang parti apa sahaja ditetapkan saya akan ikut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Kompleks E di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kecenderungan beliau akan bertanding sebagai calon di Parlimen Putrajaya, Radzi secara ringkas memaklumkan kediamannya berada di dalam kawasan kejiranan berkenaan.
“Rumah saya di sini jadi saya dengan masyarakat Putrajaya adalah jiran tetangga,” ujarnya.
Sebelum ini timbul desas-desus Radzi bakal bertanding menentang Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas dilihat sering kali menghadiri pelbagai program rasmi kementerian dan komuniti di sekitar kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, Radzi menafikan perkara tersebut dan memberi alasan bahawa pemilihan Putrajaya sebagai lokasi program bertujuan memudahkan pergerakannya dari satu tempat ke tempat yang lain.
Sebagai rekod, Tengku Adnan merupakan penyandang bagi kerusi Parlimen Putrajaya yang dimenangi oleh beliau sejak empat penggal lalu.
Pada PRU-14, Radzi tewas di Parlimen Ketereh dengan penyandang kerusi tersebut, Tan Sri Annuar Musa dengan hanya mendapat 6,799 undi. -KOSMO! ONLINE