fbpx

Bajet 2023: KPM usul pertimbang kadar baharu RMT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi (depan enam dari kiri) bergambar bersama kakitangan KPM pada Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Kompleks E di sini, hari ini.-Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengusulkan beberapa permohonan baharu kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dimasukkan dalam Bajet 2023 yang antaranya membabitkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, beliau memohon kepada MOF untuk mempertimbang kadar baharu bagi RMT ekoran peningkatan kos yang berlaku.

“Kita mohon kadar itu dilihat semula dan ditambah baik kerana ramai pengusaha kantin di luar sana sampaikan tentang perkara ini kepada kita jadi itu merupakan salah satu perkara yang kita mohon untuk pertimbangan Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2023.

“(Kadar baharu) RMT kita serahkan kepada MOF , sekarang ini RM2.50 dan kali terakhir ‘revised’ adalah beberapa tahun yang dulu sebab itu kita mohon perkara ini diteliti semula,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan di Auditorium Kompleks E di sini hari ini.

Jelas Radzi, KPM turut mengusulkan permohonan peranti untuk kegunaan guru-guru di sekolah memandangkan sistem pendidikan negara sedang bergerak ke arah digitalisasi serta isu infrastruktur bagi sekolah pendidikan khas.

“Sebelum ini kita lihat kakitangan awam yang lain umumnya ada disediakan ‘workstation’ atau komputer riba kepada mereka kalau yang bekerja di pejabat, namun begitu dalam konteks guru ini tiada peranti atau komputer disediakan.

“Sebab itu kita mohon kali ini dipertimbangkan peranti untuk guru ini memandangkan kita bergerak ke arah digitalisasi, bila bercakap tentang digitalisasi ini kita ambil kira semua pihak termasuk komponen paling utama iaitu guru-guru,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut berharap kerajaan dapat memberi perhatian khususnya terhadap infrastruktur sekolah pendidikan khas yang dilihat ketinggalan jauh berbanding negara-negara lain.

“Kita sedar pendidikan khas ini ada jurang dengan negara yang lebih terkedepan dan kita masih jauh sebab itu kita mohon peruntukan untuk lonjakkan pendidikan khas ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Radzi berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tidak lagi boleh meminta data pemarkahan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dari guru-guru berikutan pelaksanaan sistem perekodan berpusat yang dijangka bermula hujung tahun ini.

Jelasnya, sistem berkenaan merupakan sebuah platform bagi guru-guru untuk memasukkan markah PBD murid tahun empat, lima, enam dan tingkatan satu, dua dan tiga selain tidak perlu memasukkan data sama berulang kali menerusi sistem berlainan.

“Antara cabaran utama yang diterima apabila guru-guru sampaikan pada kita untuk masukkan markah PBD (mereka) perlu masukkan mengikut template yang disediakan di peringkat sekolah. Kemudian PPD pula minta masukkan dalam sistem mereka, selang sekejap, JPN pula minta,” katanya.

Tambah beliau, platform yang sedang dibangunkan itu akan membolehkan data murid dan pelajar dikongsikan di antara guru dan KPM, manakala PPD dan JPN yang ingin mendapatkan data tertentu akan memerlukan kebenaran.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI