PETALING JAYA – Selepas beberapa penyanyi seperti Aina Abdul, Siti Nurhaliza, Iman Troye dan Dolla, kini giliran Kaka Azraff pula menghiasi papan iklan gergasi di lokasi ikonik, Times Square New York, Amerika Syarikat.
Wajah Kaka atau nama lengkapnya Nor Atiqa Noor Azraff dipampang di papan iklan tersebut sempena kempen Spotify EQUAL New York Times Square untuk bulan ini.
“Tengok Ma (ibunya)! Saya lakukannya untuk papan iklan Spotify EQUAL New York Times Square bulan ini.
“Terima kasih Spotify Asia dan Warner Music Malaysia sebab realisasikannya! Bersyukur sampai ke tahap sejauh ini. Takkan mampu lakukannya tanpa kalian semua, saya mewakili (Malaysia),” tulisnya dalam hantaran Instagram.
Menerusi perkongsian sama, penyanyi lagu Gila itu memuat naik dua keping foto dan video memaparkan gambarnya terpampang indah di papan iklan tersebut.
Wajah dan nama penyanyi berusia 33 tahun itu diletakkan bersama dua lagi penyanyi negara jiran iaitu Silvy (Thailand) dan Lesha (Filipina).
Sementara itu syarikat Warner Music Malaysia menerusi Instagram turut berkongsi perkara tersebut.
“Kaka Azraff sebagai wajah terbaharu papan iklan New York Times Square!
“Sempena dengan kempen Spotify Equal, Kaka pula mewakili negara Malaysia dan kalian boleh dengarkan lagu Hilang dalam senarai main Equal,” tulisnya.
Sebelum ini, beberapa nama penyanyi wanita popular tempatan mencipta sejarah apabila terpilih menghiasi papan iklan tersebut.
Antaranya Yuna, Layla Sania, Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Dolla dan Iman Troye. – KOSMO! ONLINE