fbpx

Rasuah: Bekas pengarah Imigresen Perak, Ketua Unit Pendakwaan dihukum penjara, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEKAS Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen negeri keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh selepas didapati bersalah atas tuduhan meminta dan menerima rasuah, kira-kira tujuh tahun lalu.

IPOH – Bekas Pengarah Imigresen Perak dan bekas Ketua Unit Pendakwaan Imigresen negeri masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah tujuh tahun lalu.

Zulhairin Yahya, 50, dan Zaidi Dali, 54, turut berhadapan hukuman penjara 18 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim S. Indra Nehru yang membuat keputusan di akhir kes pembelaan bagaimanapun membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mengikut kertas pertuduhan, Zulhairin dan Zaidi masing-masing didakwa meminta wang RM10,000 setiap bulan daripada Nga Chee Jiek untuk memastikan Jabatan Imigresen tidak melakukan pemeriksaan dan serbuan terhadap pusat hiburan The Bos KTV di Pusat Bandar Seri Manjung.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Rumah Kelab Meru Valley Golf and Country Club di sini kira-kira pukul 9 malam, 5 November 2015.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 16(b) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Zulhairin juga didakwa menerima RM7,000 daripada individu sama di Restoran Knock Knock Meru Raya di sini pada pukul 12.05 tengah malam, 11 November tahun sama.

Zaidi turut dituduh menerima suapan RM7,000 daripada individu sama di tempat letak kereta Meru Valley Golf and Country Club di sini pada pukul 9.55 malam, 11 November tahun sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI