fbpx

ZPP perkenal aplikasi MaiZakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD Zakiyuddin (depan, tengah) ketika menghadiri majlis pelancaran aplikasi MaiZakat yang diadakan sempena program ILTIZAMKU 2030 kali ke-2 di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengorak setapak lagi apabila memperkenalkan satu aplikasi khusus yang dikenali sebagai MaiZakat untuk kemudahan pengguna telefon pintar di negeri ini.

Aplikasi yang dibangunkan sejak tahun lepas susulan kejayaan pelancaran portal zakatpenang2u.com itu dijangka memberi manfaat yang lebih kepada kira-kira 70,000 pembayar serta 53,000 penerima zakat sedia ada di Pulau Pinang ketika ini.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali berkata, kejayaan membangunkan aplikasi itu bertepatan dengan visi kerajaan negeri menerusi slogan ‘Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’ yang menjadi hala tuju utama di peringkat akar umbi.

“Kita buat kajian berdasarkan kepada cadangan-cadangan termasuk permintaan yang diterima daripada masyarakat Islam khususnya para pembayar zakat di negeri ini untuk memudahkan permohonan, aduan serta penyaluran segala informasi berkaitan zakat menerusi telefon pintar dapat diwujudkan.

“Maka, hari ini, kita bertuah kerana dapat menyaksikan pelancaran aplikasi MaiZakat yang mengandungi ciri-ciri lengkap berkaitan zakat di Pulau Pinang buat pertama kalinya,” katanya selepas ditemui pada majlis pelancaran aplikasi berkenaan sempena program Iltizam Khaira Ummah 2030 (ILTIZAMKU 2030) kali ke-2 di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam, Butterworth, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri I yang juga merupakan Penaung dan Pengasas Khaira Ummah 2030, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abd. Rahman.

Sebanyak 10 buah agensi atau jabatan berkaitan agama Islam di Pulau Pinang terlibat dengan program itu termasuk Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Pulau Pinang (JHEINPP) serta Jabatan Kehakiman Syariah negeri.

Turut terlibat adalah pengurusan Masjid Negeri dan masjid-masjid daerah, Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (Kitab) Pulau Pinang, Wakaf Pulau Pinang (WPP), Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) serta Jawatankuasa Pembangunan Qaryah negeri.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI