fbpx

Mahkamah: Bung Moktar, Zizie fail semakan, bicara ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BUNG Moktar Radin dan Zizie Izette Abd. Samad hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi prosiding bela diri terhadap pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual. - Foto oleh FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abd. Samad dibenar oleh Mahkamah Tinggi di sini untuk menangguhkan keterangan bela diri bagi pertuduhan rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan pasangan suami isteri itu menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya didengar di Mahkamah Sesyen hari ini sementara menunggu permohonan semakan jenayah diputuskan.

Bung Moktar dan Zizie memfailkan permohonan secara berasingan Isnin lalu antara lain memohon Mahkamah Tinggi memanggil dan memeriksa rekod prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen yang mendengar dan memutuskan mereka membela diri terhadap pertuduhan rasuah dan bersubahat.K

Dalam permohonan itu, kedua-duanya memohon perintah Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang diumumkan pada 2 September lalu.

Kedua-dua pemohon menyatakan, hakim bicara terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan pemohon menerima suapan daripada dua ejen pelaburan yang merupakan saksi utama dalam kes tersebut.

Dalam notis usulnya, Zizie memohon Mahkamah Tinggi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap intipati pertuduhan di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Sementara itu, Hakim Rozina Ayob menetapkan keterangan bela diri kedua-duanya didengar pada satu tarikh yang akan dijadual semula dan menetapkan Isnin ini bagi sebutan kes untuk mengetahui perkembangan permohonan semakan.

Terdahulu, di hadapan Hakim Collin, peguam M. Athimulan memohon perbicaraan di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu permohonan semakan didengar dan diputuskan.

Ujar peguam bela, anak guamnya Zizie memfailkan permohonan tersebut Isnin lalu dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes.

Bung Moktar turut memfailkan permohonan serupa manakala pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid ditetapkan pada Isnin ini.

Ujar Athimulan, pihak pembelaan akan memfailkan permohonan rasmi agar kedua-dua notis usul disatukan dan didengar di hadapan seorang hakim.

“Kami tidak tahu sama ada pihak pendakwaan akan memfailkan bantahan atau afidavit berkaitan permohonan semakan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah memaklumkan, pihaknya akan memfailkan permohonan bantahan selepas memperoleh perintah penyatuan daripada mahkamah.

“Kami tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan perbicaraan namun ia tertakluk kepada hakim Mahkamah Sesyen,” ujarnya.

Hari ini, Zizie dijadual membela diri terhadap pertuduhan bersubahat dengan suaminya menerima rasuah RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra dalam unit amanah Public Mutual.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI