fbpx

Suami isteri mengaku tidak salah dera anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasangan suami isteri dibawa oleh anggota polis ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini bagi menghadapi pertuduhan mendera dua anak saudara mereka.

AMPANG – Sepasang suami isteri mengaku tidak salah atas dua pertuduhan mendera anak saudara mereka masing-masing berusia tujuh dan enam tahun dari Ogos hingga 16 September lalu.

Pengakuan itu dibuat oleh tertuduh Julianah Omar, 34, dan Muhammad Asyari Mohd. Alwi, 29, di hadapan Hakim Mohd. Norisham Wan Yaakob di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak salah selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah secara serentak terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama di antara bulan Ogos 2022 sehingga pukul 5.05 petang pada 16 September lalu menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak tersebut.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa bersama-sama di antara bulan Ogos 2022 sehingga pukul 5.05 petang pada 16 September lalu menganiaya seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Tingkat 4, Apartment Bella Vista di Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya Ampang di sini yang merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan untuk setiap tertuduh berserta seorang penjamin tempatan bagi setiap tertuduh.

Kedua-dua tertuduh turut dicadangkan dikenakan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan, melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Peguam mewakili Julianah dan Muhammad Asyari bagaimanapun memohon ikat jamin lebih rendah antara RM7,000 hingga RM8,000 untuk kedua-dua tertuduh memandangkan Julianah tidak bekerja dan merupakan suri rumah.

Muhammad Asyari pula hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan dan pendapatannya didakwa semakin terjejas berikutan keadaan ekonomi semasa.

Mahkamah turut diberitahu Julianah yang merupakan pesakit kencing manis dan gout sedang mengandung lima bulan dan kandungan Julianah adalah kandungan berisiko yang memerlukan tertuduh mendapatkan rawatan serta bekalan ubat secara berkala di hospital.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aiza Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab@Lahab dan Azlinie Othman.

Mohd. Norisham menetapkan ikat jamin RM10,000 berserta seorang penjamin tempatan ke atas setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dan perlu mematuhi syarat tambahan oleh pihak pendakwaan selain menetapkan 3 November ini sebagai tarikh serahan dokumen.

Dalam pada itu, mahkamah dimaklumkan kedua-dua kanak-kanak itu masih berada di hospital dan akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, manakala ibu kandung mereka sedang menetap di Sabah.

Kosmo! pada 16 September lalu melaporkan polis memberkas pasangan suami isteri terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes dera.

Suspek wanita merupakan adik kandung kepada ibu mangsa dan siasatan polis mendapati mangsa tinggal dengan suspek sejak dua tahun lalu selepas bapa kandungnya meninggal dunia.

Kes dera tersebut dikesan selepas salah seorang mangsa bertindak melarikan diri melalui tingkap di Apartment Bella Vista di Jalan Cahaya 13, Taman Cahaya Ampang sebelum diselamatkan oleh pasukan bomba.

Kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun sembilan bulan itu cuba keluar dari rumah berkenaan dan dia dilihat berdiri di atas penghadang tingkap di tingkat empat oleh penduduk kondominium itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI