PUTRAJAYA – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana tiada siapa yang mengetahui waktu tepat bakal berlaku banjir.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau yakin bahawa PRU-15 tidak dapat dilaksanakan sekiranya berlaku banjir kerana apa yang ada hanyalah ramalan.
“Bagi mana-mana parti politik, adalah tidak logik melaksanakan PRU ketika banjir, tetapi saya tegaskan, kita pun tidak tahu bila berlaku banjir.
“Sebagai Menteri KPKT, keutamaan saya adalah menyiapkan bomba berdepan dengan bencana seandainya berlakunya Monsun Timur Laut, namun sebagai ahli parti, saya akur malah saya bersiap sedia untuk kedua-dua keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya PRU diadakan ketika musim banjir selepas menghadiri majlis Pelancaran Kesiapsiagaan JBPM menghadapi Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu sanggup meredah banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini yang mungkin banjir di beberapa tempat.
“Disebabkan saya tidak tahu bila berlakunya banjir dan bila PRU diadakan, maka saya perlu berada pada tahap kesiapsiagaan.
“Malah pihak JBPM juga bersiap sedia berdepan sebarang situasi sekiranya berlakunya banjir, cuma kita tidak tahu ia akan berlaku ataupun tidak,” katanya. – KOSMO! ONLINE