BIRMINGHAM – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp tergamam menyaksikan pasukannya dibelasah 2-7 oleh kelab kerdil yang bergelut dalam zon penyingkiran musim lalu, Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Villa Park awal pagi semalam.
Lebih memalukan, ia adalah kali pertama pasukan berstatus juara bertahan liga dibolosi tujuh gol dalam satu perlawanan sejak Sunderland meratah Arsenal 7-1 pada September 1953.
“Saya harap kami boleh buang aksi ‘sampah’ serta kesilapan yang telah ditunjukkan dalam perlawanan ini untuk bangkit pada aksi seterusnya. Saya langsung tidak menjangkakan keputusan dan kekalahan memalukan seperti ini.
“Gol pertama Villa sememangnya memberi kesan kepada kami kerana ia tidak sepatutnya berlaku. Adrian melakukan kesilapan yang kemudiannya membuatkan kami hilang arah dalam perlawanan ini,” luah Klopp.
Gawang gol The Reds dalam perlawanan itu bocor tujuh kali menerusi ledakan hatrik Ollie Watkins dan dua gol Jack Grealish selain masing-masing satu jaringan daripada Ross Barkley serta John McGinn.
Meskipun cuba bangkit menerusi dua gol daripada Mohamed Salah, namun ia masih belum mampu membantu Liverpool mengelak daripada kekalahan mengaibkan itu.
The Reds perlu bangkit segera kerana jika tidak, mereka bakal berdepan nasib sama menentang seteru setempat, Everton yang kini berada pada prestasi terbaik dengan mendahului carta liga menjelang aksi seterusnya di Goodison Park pada 17 Oktober ini.
“Saya amat berharap para pemain akan kembali dengan semangat baharu daripada tugasan antarabangsa dan bersiap sedia sebelum bertemu Everton,” jelas Klopp. – AGENSI