SHAH ALAM – Pasukan ragbi lelaki Negeri Sembilan membuktikan mereka kini pencabar utama Sukan Malaysia (Sukma) selepas berjaya melakar kemenangan sulung di Padang Ragbi UiTM hari ini.
Lebih manis ia adalah pingat emas pertama pasukan Negeri Sembilan dalam tempoh 36 tahun sejak sukan ragbi diperkenalkan pada temasya Sukma pada tahun 1986 di Kuala Lumpur.
Pada aksi final sukan dwitahunan tersebut, Negeri Sembilan tampil dengan permainan agresif dan tidak membuka ruang sebelum menyingkirkan pasukan Selangor dengan keputusan 14-0.
Dhia Darwisy Othman dan Ali Imran Mohd Suhaimi meletakkan Negeri Sembilan di hadapan selepas masing-masing bijak mencuri peluang untuk melakukan try.
Amirul Ramzan Amir melengkapkan dua conversion untuk memastikan pasukan Negeri Sembilan terus mendominasi perlawanan akhir tersebut.
Pengurus pasukan, Datuk Wan Sharuddin Datuk Wan Ladin berkata, dia berbangga dengan pencapaian anak-anak buahnya, sekali gus memadam kekecewan empat tahun lalu yang sekadar meraih gangsa di Perak.
“Saya memuji atlet, jurulatih dan pegawai kerana mereka memberikan komitmen sepenuhnya kepada perjuangan itu sejak 2018 hingga sekarang.
“Pada asalnya sasaran kami untuk pertandingan ini adalah untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas tetapi kami berjaya melepasinya dengan baik.
“Ini adalah kali pertama kami memenangi pingat emas di Sukma. Prestasi terbaik kami sebelum ini ialah meraih perak yang ketika kami menjadi tuan rumah temasya itu (2004).
“Saya gembira dengan keputusan ini tetapi pada edisi seterusnya kami perlu membina semula pasukan dengan pemain baharu sekiranya ingin mempertahankan kemenangan ini sekali lagi,” katanya sejurus tamat perlawanan sebentar tadi.
Emas dalam kategori wanita menjadi milik pasukan Kedah yang berjaya menundukkan Selangor 17-12 pada perlawanan akhir.
Manakala, Sabah yang menjuarai pingat emas sewaktu di Perak 2018 akur meraih gangsa selepas menumbangkan pasukan Johor 15-0.