fbpx

‘Macam mana padi nak hidup?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Hassan (kiri) bersama rakannya, Mohd. Asraf menunjukkan sistem perparitan yang dipenuhi semak samun di Kampung Bukit Sireh, Pokok Sena dekat Alor Setar semalam.

ALOR SETAR – Kira-kira 70 pesawah di Kampung Bukit Sireh, Pokok Sena dekat sini mengeluh apabila sukar mengusahakan bendang ekoran sistem pe­ngairan yang tidak diselenggara sehingga dipenuhi semak samun sejak dua tahun lalu.

Pesawah mendakwa masalah tersebut menyebabkan air tidak dapat mengalir ke kawasan sawah seluas 25 hektar itu.

Menurut pesawah, Mohd. Hassan Abd. Manaf, 35, sistem pengairan di situ sepatutnya di­selenggara Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Sistem perparitan sepanjang kira-kira dua kilometer kini dipenuhi semak samun dan menyebabkan air tersekat dan tak mengalir ke kawasan sawah.

“Rata-rata pesawah kini terpaksa bergantung kepada air hujan,” katanya.

Menurut Mohd. Hassan, kea­daan itu menyebabkan pesawah terpaksa menanggung kerugian kerana memperoleh hasil yang kurang kerana tumbesaran padi terjejas.

“Memang tidak dinafikan MADA ada menyalurkan air pada setiap musim tetapi ketiadaan penyelenggaraan ini menyebabkan air tidak sampai dan masuk ke dalam sawah.

“Sepatutnya pihak MADA perlu sentiasa memantau sistem perparitan itu kerana ia merupakan nadi kepada proses penanaman padi,” ujarnya yang mengusahakan sawah seluas 1.2 hektar.

Pesawah, Abd. Malik Ayob, 58, dari Kampung Telaga Batu pula berkata, air yang tersekat menyebabkan ada beberapa kawasan dilanda banjir.

“Saya berharap MADA dapat menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Bagi Ramli Salleh, 47, dari Kampung Budi pula berkata, dia tidak mengusahakan sawahnya pada musim ini kerana masalah tersebut.

“Kalau saya mengusahakanya, sudah pasti saya akan menanggung kos lebih tinggi lagi. Tanaman padi juga pasti akan terjejas dengan ketiadaan air yang mencukupi.

“Saya berharap pada musim kali ini, MADA dapat turun dan menyelenggara perparitan di sini,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI