fbpx

Mahkamah: Keterangan Bella bersambung lagi esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bella yang memakai baju watak Elsa seperti dalam Frozen hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. -FOTO SHIDDIEQIIN ZONZON

KUALA LUMPUR – Saksi kanak-kanak yang juga remaja sindrom down Bella akan menyambung keterangannya lagi esok dalam perbicaraan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd. Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi menangguhkan perbicaraan secara tetutup hari ini selepas pihak pembelaan belum selesai melakukan pemeriksaan balas terhadap Bella.

Terdahulu Bella yang juga saksi pendakwaan ke-18 mula memberi keterangan bermula pukul 10.30 pagi dan selesai pukul 4.15 petang.

Hari ini remaja berusia 13 tahun itu memberi keterangan secara tertutup mengikut Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 yang hanya boleh dilihat hakim dan pihak-pihak yang dibenarkan.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan dan peguam hanya mendengar suara saksi berkenaan tanpa melihat secara fizikal yang mana Bella ditempatkan dalam satu bilik khas dan keterangannya didengar melalui rangkaian secara langsung dalam mahkamah.

Terdahulu sebelum prosiding bermula pagi tadi, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memaklumkan kepada mahkamah, keterangan Bella dalam perbicaraan kes itu akan dijalankan secara tertutup.

Ini kerana Bella adalah mangsa selain merupakan saksi pendakwaan kanak-kanak yang mana keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh media dan mana-mana pihak.

Zilfinaz berkata, pada prosiding sebelum ini, pihaknya telah memohon supaya seorang perantara dan peneman Bella dilantik mengikut peruntukan di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 untuk berada bersama remaja itu di sebuah bilik lain semasa perbicaraan dijalankan.

Dua individu ialah pegawai psikologi dari Jabatan Peguam Negara, Dr. Nor Jumawaton Shahruddin selaku perantara dan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Noor Faiidah Mohamed selaku peneman Bella.

Mendengar perkara itu, Hakim Izralizam kemudian berkata, mahkamah sebelum ini telah membenarkan dua pelantikan individu selain menegaskan Bella adalah saksi kanak-kanak yang kurang upaya.

Justeru mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan supaya prosiding itu dijalankan secara tertutup dan mengarahkan orang awam untuk meninggalkan galeri awam sebelum prosiding bermula.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI