fbpx

Tuntutan palsu: Bekas pengurus kanan agensi kerajaan direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua lagi individu termasuk bekas pengurus kanan di sebuah agensi kerajaan direman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu.

PUTRAJAYA – Seramai dua lagi individu termasuk seorang bekas pengurus kanan di sebuah agensi kerajaan direman dua hari berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 50-an itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada pukul 7.30 petang semalam ketika hadir memberikan keterangan.

“Bekas pengurus kanan agensi kerajaan dan pemilik syarikat berkaitan digital itu direman bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan tuntutan palsu bagi program latihan berkaitan teknologi digital.

“Kes tersebut dipercayai melibatkan dua buah syarikat yang dibayar tuntutan masing-masing lebih RM19 juta dan RM7 juta bagi menjalankan program latihan dari 2016 hingga 2020, namun latihan tersebut tidak dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Tan Kang Sai memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kosmo! Online semalam melaporkan lima individu direman tiga hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu bagi program latihan berkaitan teknologi digital.

Empat lelaki dan seorang wanita berusia 37 hingga 50 tahun itu dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bagi program latihan berkaitan teknologi digital kepada sebuah agensi kerajaan sedangkan latihan tersebut tidak dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI