PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan amaran akan mengambil tindakan tegas sepertimana yang diperuntukan oleh undang-undang jika himpunan #NyawaDuluBaruPRU diadakan Sabtu ini.
Menurut PDRM, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang notis pemakluman berkaitan himpunan daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengikut peruntukan undang-undang.
“Polis juga telah menasihatkan penganjur supaya tidak mengadakan himpunan ini.
“Jika diadakan juga, pihak polis akan mengambil tindakan tegas sepertimana yang diperuntukan oleh undang-undang. Orang ramai dinasihatkan juga supaya tidak menyertai himpunan ini,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Muda berhasrat mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini bagi membantah pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam masa yang terdekat.
Himpunan #NyawaDuluBaruPRU dikatakan sebagai maklum balas kepada kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Barisan Nasional (BN) bersedia meredah banjir untuk berkempen sekiranya pilihan raya diadakan tahun ini.
Protes itu dijadualkan berlangsung sekitar pukul 4 petang di hadapan sebuah pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sabtu ini.-KOSMO! ONLINE.