ALOR SETAR – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan melakukan khianat serta menakutkan dengan cara membaling cat dan menampal notis amaran di rumah mangsa pada 10 September lalu.
Tertuduh iaitu Mohd. Nain Ismail, 38, yang merupakan pesawah dan Asmadi Abu Hassan, 41, tukang rumah masing-masing mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang dihadapi mereka.
Dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhidayah Mohd. Noor, manakala dua lagi pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Zul Hilmi Latif.
Bagi semua pertuduhan itu, Mohd. Nain dan Asmadi masing-masing didenda sebanyak RM12,300.
Mereka didakwa secara bersama menyimbah cat ke rumah seorang individu sehingga mengakibatkan kerugian RM500.
Mereka juga didakwa secara bersama menakutkan secara jenayah ke atas seorang wanita berusia 50 tahun dengan cara menampal notis tertera amaran supaya membayar hutang.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik, Jalan Perak pada pukul 2.38 petang hingga 2.39 petang, 10 September lalu,
Mereka didenda RM3,000 bagi setiap pertuduhan tersebut dan diarah menjalani hukuman penjara12 bulan jika gagal membayar denda.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, mereka berdua didakwa secara bersama menyimbah cat di sebuah rumah di Kampung Haji Burhan dengan kerugian RM3,000.
Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa menampal notis bertulis ugutan secara jenayah di rumah sama di Jalan Langgar di sini pada pukul 2.11 petang hingga 2.12 petang, 10 September lalu. – KOSMO! ONLINE