fbpx

TH catat pendapatan RM1.47 bilion separuh tahun pertama 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM1.47 bilion bagi separuh tahun pertama 2022 dengan jumlah deposit berjumlah RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya.

TH dalam kenyataan hari ini memaklumkan kepercayaan dan sokongan pelbagai pihak kepada TH sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan serta melaksanakan ibadah haji kekal utuh.

“Sepanjang enam bulan pertama, lebih daripada 200,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya menyaksikan peningkatan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 8.6 juta orang.

“Pencapaian ini mencerminkan daya tahan TH walaupun berhadapan dengan kesan-kesan selepas pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir, antaranya ancaman inflasi, ketidaktentuan pasaran dan kelemahan ekonomi dunia,” katanya.

Dalam kenyataan sama, TH menjelaskan bahawa sebahagian besar pendapatannya diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang telah menyumbang sebanyak RM966.34 juta dalam tempoh separuh tahun pertama yang merangkumi 65.71 peratus daripada jumlah pendapatan kasarnya.

“Pelaburan saham turut menyumbang sebanyak RM224.62 juta yang mencatatkan peningkatan RM41.27 juta berbanding RM183.35 juta pada tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Pelaburan ekuiti menyumbang 15.27 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan, manakala pelaburan harta tanah memperoleh pendapatan sebanyak RM213.66 juta, diikuti pendapatan-pendapatan lain sebanyak RM66.07 juta,” jelasnya.

Dalam pada itu, setelah mengambil kira perbelanjaan termasuk peruntukan zakat, TH berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.03 bilion dalam tempoh enam bulan pertama sehingga 30 Jun 2022, berbanding RM1.22 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Penurunan keuntungan adalah setelah mengambil kira perbelanjaan Bantuan Kewangan Haji yang diberikan kepada jemaah haji bagi musim 1443H/2022M,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI