PETALING JAYA – Sebagai tuan rumah, menjadi satu keperluan untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan yang bakal berlaku terhadap keadaan rumah selepas diberi sewa kepada mana-mana individu sama ada pelajar, bujang atau keluarga.
Tinjauan Kosmo! di media sosial hari ini mendapati, rata-rata tuan rumah dilihat serik untuk memberi sewa kepada golongan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) kerana mereka merasakan lebih rugi terhadap perkhidmatan yang disediakan itu.
Melihat kepada beberapa hantaran dan luahan dari pihak tuan rumah, ramai yang merungut keadaan rumah mereka menjadi lebih teruk selain berlaku kerosakkan harta benda selepas ditinggalkan oleh penyewa (pelajar IPT).
Salah seorang tuan rumah di Bayan Lepas, Pulau Pinang berkongsi pengalamannya memiliki penyewa dari kalangan pelajar IPT sehingga mengalami kerugian rumah hampir RM50,000.
“Apabila buka pintu rumah hanya mampu mengucap panjang. Ya Allah rumah aku, sanggup penyewa buat macam ini.
“Masa dulu baru beli aku letak ‘tiles’ lawa-lawa, letak penghawa dingin untuk keselesaan penyewa. Sekarang lepas ditinggalkan, banyak yang rosak, Hanya Allah yang mampu membalas perbuatan manusia macam ini,” luahnya.
Sementara itu, pengguna Facebook, Md. Nizam mengakui sikap sebahagian besar pelajar IPT adalah sangat pemalas dan pengotor.
“Sebelum ini, rumah di Bangi ada bagi sewa empat orang pelajar lelaki salah sebuah universiti awam di sana, tapi memang rumah bau busuk, barang-barang tidak kemas, bersepah dalam rumah.
“Dia mula ‘kantoi’ apabila paip dapur rumah sewa rosak, saya ke sana untuk pergi baiki. Memang terkejut bila banyak bekas makanan atas meja tidak dibuang, bau busuk dan paling geram adalah almari yang disediakan di bahagian dapur serta rak kasut patah, rosak.
“Terus saya beri amaran untuk bersihkan segera sekiranya mahu terus menyewa, soal kerugian rak tersebut, saya kenakan denda kepada mereka untuk membayar separuh harga barangan untuk saya beli yang baru sebagai ganti, dan sekarang ini, saya memang akan buat pemantauan sekali sebulan agar penyewa tahu bertanggungjawab jaga rumah sama-sama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE