fbpx

Pesara kerajaan ditahan kes salah guna jawatan dapatkan rumah di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

ALOR SETAR – Seorang pesara kerajaan di sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini ditahan kerana disyaki menyalahgunakan jawatannya semasa proses pengambilan tanah bagi projek Lebuhraya Langkawi pada 2005.

Menurut sumber, lelaki berusia 69 tahun itu ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sini kira-kira pukul 3 petang, semalam.

“Dia ditahan bagi membantu siasatan kes salah guna jawatannya semasa proses pengambilan tanah oleh kerajaan bagi projek Lebuhraya Langkawi pada tahun 2005.

“Lelaki terbabit didakwa melakukan perkara itu bagi mendapatkan suapan iaitu sebuah rumah di Sungai Menghulu, Langkawi dekat sini untuk dirinya sendiri ketika masih dalam perkhidmatan,” katanya.

Suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin atas faktor umur dan kesihatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan lelaki terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI