KERJAYA seni YonnyBoii mungkin baru berumur setahun jagung, namun anak seni ini berjaya membuatkan kehadirannya dalam industri muzik Malaysia dirasai.
Penyanyi rap, komposer dan penerbit muda yang mesra disapa sebagai Yonny itu disebut peminat sebagai sangat berbakat dalam menghasilkan karya dengan ciptaan melodi indah yang menangkap perhatian pendengar.
Nukilan liriknya pula menggunakan bahasa mudah namun sarat dengan makna yang memberi kesan kepada pendengar.
Semenjak membuat kemunculan dalam arena muzik arus perdana pada tahun lalu, Yonny telah menghasilkan lebih kurang 14 buah lagu termasuk karya solo dan kerjasamanya bersama artis tempatan.
Namanya mula meledak menerusi kerjasamanya dengan penyanyi rap Zynakal dalam lagu Sakit yang berjaya mengungguli carta RIM sebagai Lagu Yang Paling Banyak Distrim selama 14 minggu berturut-turut dan sehingga ke hari ini masih kekal dalam carta tersebut untuk minggu yang ke-35.
Selain Zynakal, Yonny juga pernah bekerjasama dengan nama-nama besar dalam industri seni termasuk Caprice menerusi lagu Takut (2019), Azlan & The Typewriter menerusi lagu Kelabu (2020) serta Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir dan Tuju K-Clique menerusi lagu X Missing You (2020).
Selain itu, Yonny turut berjaya menempatkan lagu-lagu ciptaan dan dendangannya sebagai lagu runut bunyi drama, suatu peluang yang jarang-jarang diterima oleh bakat baru.
Biarpun masih baharu, muzik Yonny telah berjaya melatari drama Budak Tebing yang ditayangkan dalam slot Lestary TV3 pada April lalu dengan lagu Sakit, Salahku dan Tujuan, sekali gus memperkenalkan lagi muzik dan namanya kepada khalayak.
Terbaharu, bakat muzik Yonny mendapat pujian ramai termasuk seniman terkenal Datuk M.Nasir apabila persembahannya dalam program Immortal Songs Malaysia berjaya memukau penonton apabila lagu Keroncong Untuk Ana yang diberi susunan semula muziknya dalam bentuk jazz, dinyanyikan Yonny dengan gaya tersendiri.
Melakar rona seninya dengan penuh gemilang dalam masa yang singkat, tidak hairanlah jika ramai yang mencemburui kejayaannya mengukir nama di persada seni.
Mungkin itulah yang cuba disampaikan menerusi single terbaharunya berjudul Boleh Bla. Single berkenaan merupakan single solo kelima Yonny, selepas Tuju, Salahku, Aku Itu Aku dan Sheenta.
Lagu yang cuba menjawab balik cercaan orang tetapi dalam masa yang sama cuba mengukuhkan kepercayaan terhadap diri sendiri tersebut dicipta sepenuhnya oleh Yonny yang turut bertindak sebagai penerbit rakaman bersama Wofie.
“Boleh Bla merupakan lagu untuk membangkitkan semangat diri apabila berhadapan dengan kata nista orang.
“Lagu ini sebuah reaksi kepada orang yang sering berkata buruk terhadap diri kita, yang sibuk menghakimi kehidupan kita, yang tidak senang hati dengan kejayaan kita.
“Selain itu, lagu ini turut memfokuskan tentang ego seseorang yang sudah dipendam lama. Apabila sering dipijak, lambat-laun ego kita juga akan bangkit mempertahankan diri,” kata Yonny.
Lagu terbitan Universal Music Malaysia dengan kerjasama Def Jam Malaysia tersebut sudah boleh didapati menerusi platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes,
KKBox dan Deezer sejak 25 September lalu. Video lirik lagu berkenaan boleh ditonton dalam saluran YouTube Universal Music Malaysia.