fbpx

Tidak adil banding pelancongan Langkawi dan Hatyai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

LANGKAWI – Pulau peranginan ini menawarkan tarikan tersendiri dan tidak wajar dijadikan perbandingan dengan pakej yang terdapat di Hatyai, Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, dakwaan yang menyatakan industri pelanco­ngan di sini terjejas disebabkan rakyat Malaysia kini memilih selatan Thailand untuk bercuti adalah tidak tepat.

“Perbandingan yang dibuat dalam pernyataan tersebut adalah tidak tepat kerana sasaran kemasukan pelancong pada tahun ini adalah sebanyak 2.5 juta, berbanding 2019 yang menca­tatkan 3.9 juta pelancong.

“Langkawi juga menawarkan tarikan pelancongan yang berbeza berbanding dengan Hatyai, jadi perbandingan itu adalah tidak adil,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks LADA di sini semalam.

Ujar beliau, pada September ini sehingga kelmarin, seramai 172,623 orang memasuki Langkawi berbanding 250,219 orang pada September 2019.

Manakala pada Ogos tahun ini, kata beliau, Langkawi mencatatkan 208,069 pengunjung berbanding 303,530 orang pada Ogos 2019.

“Industri pelancongan masih dalam fasa pemulihan, jadi sasaran kita pada tahun ini adalah realistik dan tidak boleh diban­dingkan dengan tahun sebelum berlakunya pandemik Covid-19,” ujarnya.

Tambahnya, Langkawi juga tidak bersaing secara langsung dengan destinasi lain kerana Langkawi mempunyai peminat dan pasarannya yang tersendiri.

Bagaimanapun, LADA tidak menafikan angka kemasukan pelancong dapat ditambah baik sekiranya perkhidmatan feri dipertingkatkan.

Beliau memberitahu, faktor perjalanan feri yang terhad serta tidak menentu menyebabkan pelancong tidak dapat merancang percutian mereka dengan teratur.

“Perjalanan tambahan yang dibuat pada saat akhir juga menyukarkan perancangan pelancong yang ingin ke sini.

“Sekiranya perkhidmatan feri dapat ditingkatkan dengan memastikan jadual perjalanan yang lebih teratur dan tetap, pastinya angka kemasukan pelancong akan menjadi lebih baik,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI