LONDON – Penyerang sensasi Brentford, Ivan Toney mengakui peluang dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan England umpama mimpi jadi kenyataan yang tidak boleh dilepaskan bagi memastikan harapan ke Piala Dunia 2022 tercapai.
Sebagai rekod, Toney telah mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri di peringkat kelab apabila menjaringkan enam gol bersama Brentford pada kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Situasi tersebut menarik perhatian pengendali England, Gareth Southgate untuk mendapatkan khidmat Toney pada aksi antarabangsa untuk mengharungi saingan Liga Negara-Negara Eropah pada minggu ini.
Kata Toney, peluang untuk menyarung jersi The Three Lions sememangnya menjadi impian sejak kecil dan dalam masa yang sama percaya dirinya layak untuk diserapkan dalam skuad utama berdasarkan prestasi konsisten yang ditampilkan musim ini.
“Saya tidak pernah meragui keupayaan diri untuk mendapat peluang bersama skuad kebangsaan pada masa akan datang. Saya pasti jika terus bekerja keras, mungkin peluang itu ada dan kini ia menjadi realiti.
“Lebih membanggakan, saya tidak seperti pemain lain yang mana mereka mewakili England di peringkat remaja sedangkan saya terus ke skuad senior.
“Apa yang pasti, peluang kini sudah berada di depan mata buat saya untuk membuktikan keupayaan sebenar di pentas antarabangsa dan misi saya agar dapat ditempatkan dalam pasukan ke Piala Dunia di Qatar nanti,” katanya.
Penyerang berusia 26 tahun itu dijangka membuat debut sulung bertemu Itali pada aksi Liga Negara-Negara Eropah awal pagi Sabtu nanti. – AGENSI