LONDON – Legenda tenis Switzerland, Roger Federer yang menggemparkan dunia selepas mengumumkan persaraannya minggu lalu mendedahkan dia berhasrat untuk terus kekal terbabit dalam sukan yang digemarinya itu meskipun tidak lagi bergelar atlet.
Pemenang 20 gelaran Grand Slam tersebut mencetuskan reaksi emosi terutama peminat tenis seluruh dunia selepas mengumumkan untuk bersara sepenuhnya sebaik sahaja beraksi pada Piala Laver minggu ini.
Khamis lalu dia mengakui bahawa dia bertarung dengan kecederaan lutut hingga memaksanya untuk menamatkan karier selaku pemain tenis selepas mengetahui badannya tidak mampu untuk terus beraksi secara kompetitif dalam sukan tersebut.
“Apa yang saya lalui tidak memuaskan, lutut saya tidak membenarkannya untuk meneruskan saingan ini. Selepas saya menjalani pemeriksaan dan imbasan, jelas ia bukan perkara baik.
“Saya beritahu diri sendiri bahawa ia sudah berakhir. Secara jujur saya tidak mahu lagi melakukannya.
“Saya tidak tahu mengenai masa depan saya selepas ini, tetapi saya tidak mahu menjauhkan diri sepenuhnya daripada sukan yang telah memberikan segala-galanya kepada saya,” kata Federer yang juga merupakan pemain terbaik sepanjang zaman. – AGENSI