fbpx

Taufan Fiona cecah Kategori 4, menuju ke arah Bermuda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengalihkan pokok tumbang dari jalan di Vega Baja, Puerto Rico pada 18 September lalu. - AFP

SAN JUAN, PUERTO RICO – Taufan Fiona kini memasuki Kategori 4 hari ini ketika ia bergerak dari Kepulauan Turks dan Caicos menghala ke Bermuda, kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC).

“Laporan dari pesawat Rizab Tentera Udara Hurricane Hunter menunjukkan bahawa kelajuan angin maksimum kini menghampiri 210 kilometer sejam dengan tiupan lebih tinggi,” kata NHC sambil menambah, Fiona akan membadai Bermuda lewat esok (Khamis).

Taufan itu sebelum ini membadai Puerto Rico di mana sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, lapor portal berita MailOnline semalam. 

Taufan besar itu adalah yang pertama pada musim kali ini. Ia mencetuskan banjir kilat di Puerto Rico yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 58 tahun selepas dihanyutkan oleh Sungai La Plata di belakang rumahnya di bandar Comerio, lapor CNN.

Ketika taufan itu menyebabkan lebih satu juta orang terputus bekalan elektrik atau air di wilayah Amerika Syarikat (AS) tersebut, lelaki kedua berusia 30-an dilaporkan maut selepas cuba menghidupkan generator di rumahnya.

Lebih 1,000 orang telah diselamatkan daripada banjir ketika pulau itu beransur pulih daripada kemusnahan akibat Taufan Maria yang melanda lima tahun lalu.

Kebanyakan kawasan di pulau itu berkemungkinan tidak mempunyai bekalan kuasa selama beberapa hari, demikian menurut pihak berkuasa yang bertungkus lumus membekalkan elektrik ke hospital dan perkhidmatan kecemasan.

Walaupun Taufan Fiona dijangka menuju ke utara ketika membadai pulau-pulau lain di Carribean sambil menjauhi tanah besar AS, NHC yang berpangkalan di Miami berkata, Puerto Rico dijangka menerima taburan hujan sehingga 20 sentimeter atau lebih pada minggu ini.

 “Hujan akan terus menyebabkan banjir yang mengancam nyawa selain bencana banjir lumpur dan tanah runtuh di seluruh Puerto Rico,” kata NHC dalam satu kenyataan. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI