fbpx

Peniaga, penduduk Pantai Kundor rugi ribuan ringgit akibat ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAIZATUL Aini Basri melihat kabin yang rosak teruk selepas dihempap pokok tumbang akibat ribut di Pantai Puteri, Melaka.

MELAKA – Seorang peniaga asam pedas terkedu apabila mendapati gerai perniagaan di Pantai Puteri, di sini ranap dihempap pokok yang tumbang akibat ribut, semalam.

Maizatul Aini Basri, 36, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM15,000 apabila kabin yang dijadikan tempat berniaga dan dan semua peralatan memasak rosak.

“Semua barangan rosak dan pecah serta tidak boleh digunakan, kabin juga ranap dihempap pokok.

“Buat masa ini saya menggunakan khemah buat sementara waktu untuk menjalankan perniagaan selewat-lewatnya minggu depan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Difahamkan bencana ribut yang berlaku kira-kira pukul 3 pagi turut menjejaskan 15 buah rumah di Kampung Pantai Rombang yang mengalami kerosakan bumbung dan dinding.

Seorang penduduk, Wardiani Ayu Baba, 35, berkata, ribut berkenaan telah meruntuhkan tembok di sebelah rumahnya sehingga menghempap dinding ruang tamu.

“Dinding ruang tamu rumah rosak ditimpa pokok, kini saya dan suami hanya ‘tidur-tidur ayam’ kerana bimbang ribut berulang memandangkan perubahan cuaca kebelakangan ini sukar diramal.

“Kami masih terkejut kerana tidak pernah mengalami kejadian yang menakutkan itu sepanjang lapan tahun menetap di Solok Hasan Yasin, Kampung Pantai Rombang,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi berkata, kawasan yang terlibat bencana adalah Tanjung Kling, Pantai Rombang, Kampung Lereh, Kampung Gelam, Pantai Kundor, Kampung Pengkalan Lanjut dan Pantai Puteri.

“Semua mangsa telah menerima bantuan bencana termasuk wang ihsan dan kit makanan dan menunggu bantuan daripada pejabat daerah.

“Bagi penghuni 15 buah rumah yang terjejas akibat beberapa kepingan atap zink diterbangkan angin kuat, mereka akan menerima bantuan bencana untuk membaiki kerosakan yang berlaku,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI