KUALA LUMPUR – Seorang pakar psikiatri memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa remaja perempuan Sindrom Down Bella membuat ‘gesture’ (isyarat) dengan kedua-dua tangannya diikat dan menunjukkan matanya.
Pakar Psikiatri Dr. Wan Asyikin Wan Azlan, 37, yang juga saksi pendakwaan ke-17 berkata Bella membuat gesture itu secara sukarela ketika beliau bersama dua lagi individu menemubual remaja tersebut dalam sebuah bilik di Hospital Tunku Azizah (HTA) pada 30 September 2021.
“Saya bertanya kepada Bella semasa di rumah penjagaan, Bella pandai buat apa dan Bella menerangkan dia melipat dan menjemur baju, menyusun barang, mengemop dan membuat air.
“Saya bertanya kepada Bella sama ada dia membuat air panas atau sejuk, remaja itu terus membuat gesture (isyarat) tangannya diikat dan ada menyebut ‘panas’,” kata saksi tersebut ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.
Saksi itu turut berkata selain menunjukkan isyarat kedua-dua tangannya diikat Bella juga menunjukkan mata sambil menyebut ‘cili’ tanpa ditanya.
Dalam pada itu, disoal Azizah mengenai bagaimana Bella boleh menyebut panas, saksi itu menjawab ‘seingat saya Bella boleh menyebut panas’.
Semasa prosiding saksi itu turut bertanya dua soalan kepada Bella adakah dia mahu berjumpa dengan Bainun (Siti Bainun) dan adakah hendak balik ke Rumah Bonda, Bella menggelengkan kepala.
Menurut saksi itu meskipun Bella menjawab apa yang ditanya, remaja itu mempunyai ketidakupayaan intelektual .
“Namun Bella masih boleh menguruskan diri sendiri serta boleh berkawan dengan kanak-kanak lain,” kata saksi itu.
Sebelum ini pada Mac lalu, saksi pendakwaan pertama Zurianty Sudin, 39, yang juga rakan kepada Siti Bainun dalam keterangannya berkata Bella ada memberitahu bahawa dia di ‘cili’, dijirus air panas dan diikat.
Ujar Zurianty, perkara itu dimaklumkan ketika dia dan Bella di dalam ambulans semasa mereka dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Jun 2021.
Sementara itu semasa disoal balas oleh peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor, saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa beliau tidak pernah melihat Bella mengemop, mengemas, menyapu dan menyediakan air minuman selain tidak pernah berjumpa dan berbual dengan Siti Bainun.
Kepada cadangan peguam bahawa tiada keterangan dari Bella menyebut perkataan ‘disimbah’ panas atau ‘simbah’ saksi itu menjawab ‘setuju’.
Terdahulu pada prosiding sesi pagi, seorang doktor sebuah klinik memberitahu Siti Bainun ada datang ke kliniknya untuk mendapatkan ubat bagi rawatan kecederaan air panas untuk pada Jun tahun lalu.
Saksi pendakwaan ke -16 Dr. Rashid Khan Mohamad yang merupakan doktor yang berkhidmat di Klinik Setapak dan Surgeri berkata Siti Bainun datang ke kliniknya pada 2 Jun 2021 apabila mengadu ‘anaknya’ tersimbah air panas pada 9 Mei (9 Mei 2021) selain Siti Bainun hendak ubat termasuk dirinya.
“Untuk Siti Bainun saya memberikan dua jenis tablet iaitu voltaren dan motilium manakala untuk ‘anaknya’ (Bella) saya berikan Combidem cream dan tablet pirton,” kata saksi itu.
Sementara itu semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik apakah fungsi ubat-ubat tersebut, saksi itu dia antaranya adalah untuk mengurangkan keradangan ,kurangkan kegatalan dan jangkitan kuman.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung lagi esok. – KOSMO! ONLINE