SEBERANG PERAI – Peralihan daripada fasa pandemik kepada endemik ketika ini sememangnya telah membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu sama ada untuk para lepasan sekolah, graduan atau mereka yang telah menempuh alam pekerjaan itu sendiri.
Justeru, peluang tersebut perlu direbut dan dimanfaatkan dengan sebaiknya memandangkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan itu kini dilihat semakin mencabar.
Hakikat itu diakui seorang pencari kerja, Mohd. Mokhzani Adnan, 34, yang menganggap era peralihan itu sebagai peluang keemasan untuknya mencari pekerjaan yang lebih baik walaupun telah bekerja ketika ini.
Menurut pemegang diploma dalam bidang kejuruteraan peralatan itu, meskipun terpaksa bersaing dengan rata-rata pencari kerja yang jauh lebih muda daripadanya namun dia optimis peluang untuknya masih ada meskipun bergantung kepada kekosongan jawatan selain kriteria yang diperlukan.
“Selain mencari pengalaman baharu, saya juga berharap untuk mendapatkan pekerjaan dengan sumber pendapatan yang lebih baik memandangkan isteri saya tidak bekerja,” kata bapa kepada empat orang anak itu kepada pemberita di sini.
Mohd. Mokhzani merupakan antara sebahagian daripada ribuan pencari kerja yang hadir pada Karnival Kerjaya Politeknik Zon Utara anjuran bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial di Politeknik Seberang Perai (PSP), hari ini.
Difahamkan, lebih daripada 2,800 peluang pekerjaan ditawarkan oleh 26 majikan yang mengambil bahagian dalam karnival itu dengan lebih 90 peratus daripada majikan tersebut beroperasi di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Pengarah PSP, Harith Fadzillah Abd. Khalid berkata, turut diadakan sempena karnival itu adalah majlis menandatangani sijil kolaborasi (CoC) bersama 21 buat syarikat dan agensi dalam usaha memperluaskan lagi kerjasama strategik antara PSP dengan para penggiat industri khususnya di Pulau Pinang.
Menurutnya, politeknik merupakan salah satu daripada institusi pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang begitu sinonim dengan industri, usahawan dan komuniti.
“Untuk pengetahuan, karnival ini bukan sahaja untuk semua pelajar politeknik serta kolej komuniti malah, terbuka kepada semua pencari kerja di Pulau Pinang,” ujar beliau.
Selain sesi temuduga yang diadakan secara terbuka, turut diadakan sempena karnival itu adalah pameran dan kaunter perkhidmatan dari agensi-agensi kerajaan serta Hari Bertemu Pelanggan bagi membolehkan orang awam mendapatkan informasi mengenai PSP dan sebagainya. – KOSMO! ONLINE