PUTRAJAYA – Gerak-geri mencurigakan dua lelaki di sebuah taman perumahan di sini, pagi tadi terjawab apabila pemeriksaan mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan oleh anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya yang sedang melakukan rondaan dan pemantauan di Jalan Kesum, Presint 16, di sini.
Perkara itu dikongsi IPD Putrajaya menerusi laman Facebook rasminya, hari ini.
Menurutnya, hasil ujian saringan awal dadah mendapati kedua-dua lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine dan kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Tangkapan ini adalah hasil maklumat dari orang awam yang menyatakan kedua-dua lelaki tersebut kelihatan mencurigakan di sekitar taman perumahan itu.
“Terima kasih diucapkan atas penyaluran maklumat ini dan diharapkan ianya dapat terus diberikan oleh orang ramai dalam usaha pencegahan jenayah,” katanya.
IPD Putrajaya kini giat melakukan rondaan dan pemantauan susulan dua kejadian samun dan pecah rumh masing-masing di Presint 11 dan Presint 9 dalam tempoh seminggu lalu.
Berdasarkan laporan polis, suspek dipercayai warga Indonesia itu memecah masuk rumah mangsa sekitar awal pagi sebelum mengikat mangsa dan melarikan barangan berharga.
Setakat ini, usaha mengesan dan menjejaki suspek sedang dilakukan malah, pada masa sama, penduduk turut mengaktifkan aktiviti rondaan di sekitar taman perumahan masing-masing sejak seminggu lalu. – KOSMO! ONLINE