GEORGE TOWN – Enam lelaki disyaki penagih dadah diberkas polis dalam keadaan di bawah pengaruh bahan terlarang itu di beberapa lokasi berasingan di sekitar Bayan Lepas, di sini kelmarin.
Kesemua mereka yang dipercayai bekerja sebagai pembantu kedai, buruh, peniaga dan nelayan itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Barat Daya bersama anggota dari Balai Bayan Lepas semasa Tugas Cegah Jenayah.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya (IPDBD), kesemua tangkapan berusia 29 hingga 65 tahun itu didapati positif dadah.
“Hasil pemeriksaan badan ke atas suspek-suspek telah menjumpai satu keratan straw lutsinar berisi dadah jenis heroin anggaran berat 0.79 gram, (1) paket plastik lutsinar di dalamnya terdapat (13) keratan straw berisi dadah jenis heroin anggaran berat 3.57 gram, (1) beg pinggang warna biru/hitam dan (1) beg pinggang berzip warna hitam jenama Vans,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 12(3), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE