fbpx

4 PATI Indonesia diselamatkan di tengah lautan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat PATI warga Indonesia yang terapung di tengah lautan berhampiran Pulau Pintu Gedong, Klang, berjaya diselamatkan anggota Maritim Selangor, petang semalam.

KLANG – Empat pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor setelah ditemui terapung di kedudukan 0.7 batu nautika Pulau Pintu Gedong, di sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten V. Siva Kumar berkata, pihaknya melalui Pusat Operasi Maritim Selangor menerima laporan berhubung kejadian itu daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru setelah ada orang awam ternampak kesemua PATI itu terapung di lokasi kejadian.

“(Setelah menerima laporan itu), (sebuah) bot PETIR 83 telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi pemeriksaan kes berkenaan.

“Setiba di lokasi, kesemua mangsa telah diselamatkan oleh sebuah kapal pandu milik Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Siva Kumar, kesemua PATI itu memaklumkan bahawa mereka ditinggalkan di Pulau Che Mat Zin, Klang oleh satu sindiket penyeludupan migran.

Setelah terkandas di pulau berkenaan selama empat hari tanpa sebarang sumber makanan, mereka nekad untuk berenang ke Pulau Indah, Klang bagi menyelamatkan diri.

“(Kami) mengesyaki PATI cuba dibawa keluar dari Malaysia, namun terkandas di Pulau Che Mat Zin oleh sindiket terbabit.

“Malah pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka, yang berumur dalam lingkungan 26 hingga 43 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen yang sah,” ujarnya.

Kata Siva Kumar, kesemua PATI yang ditahan itu telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah dan sedang disiasat pihaknya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal menunjukkan pasport atau dokumen perjalanan serta permit masuk yang sah kepada penguatkuasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI