KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memadam tiga perenggan dalam pernyataan bertulis Mejar Jeneral (B) Datuk Fadzlette Othman Merican Idris Merican manakala sebahagian besarnya diterima masuk sebagai keterangan kes Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Perenggan terlibat ialah ayat terakhir perenggan 17, keseluruhan perenggan 18 dan ayat terakhir perenggan 22 yang menyentuh kredibiliti saksi pendakwaan ke-90, Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berpuas hati, sebahagian besar pernyataan saksi mengandungi 34 perenggan itu diterima masuk sebagai keterangan kerana ia berhubung kait secara langsung dengan isu teras kes pembelaan.
Beliau berpendapat, hanya tiga perenggan daripada keseluruhan pernyataan itu tertakluk di bawah Seksyen 153 Akta Keterangan 1950.
Hakim Collin turut berpuas hati, perenggan 16 hanya melibatkan pengenalan secara naratif bagaimana Fadzlette bertemu dengan Mazlina.
Fadzlette yang kini Pengarah Media Presiden UMNO, dipanggil sebagai saksi pembelaan kedua pada perbicaraan Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim Collin turut mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan penghujahan pada akhir kes pembelaan jika terdapat permohonan serupa dikemukakan untuk memadam perenggan tertentu dalam pernyataan bertulis saksi-saksi lain.
Menurut beliau, pada peringkat ini, pernyataan bertulis saksi-saksi lain diterima masuk tanpa memprejudiskan hak pendakwaan untuk memohon perenggan-perenggan tertentu dipadam melalui penghujahan pada akhir kes kelak.
Isnin lalu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memohon agar perenggan 16 hingga 30 dalam pernyataan bertulis itu dipadam kerana ia merupakan satu lagi percubaan untuk menggugat kredibiliti Mazlina yang merupakan salah seorang saksi utama pendakwaan dalam kes tersebut.
Raja Rozela sebelum ini berhujah, perenggan-perenggan tersebut hanya bertujuan menggoyah keterangan Mazlina dan memohon agar tidak dimasukkan sebagai keterangan.
Hujah beliau, perenggan-perenggan tersebut hanya bersifat sampingan dan tidak relevan atau mempunyai kesan terhadap perbicaraan kes Ahmad Zahid.
Semalam, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik berhujah, pernyataan bertulis Fadzlette relevan dan wajar diterima masuk sepenuhnya sebagai keterangan kerana ia penting bertujuan mencabar kredibiliti dan perlakuan Mazlina.
Hujah beliau, Fadzlette merupakan saksi pembelaan bebas dan keterangan beliau material bagi menunjukkan perlakuan Mazlina yang disifatkan cuai, enggan menurut perintah dan membelakangkan arahan yang diberikan.
Sehubungan itu, Hisyam berhujah, pernyataan bertulis Fadzlette tidak sepatutnya dipadam dan wajar diterima keseluruhannya dalam perbicaraan tersebut selagi keterangannya relevan bagi menyanggah kredibiliti Mazlina.
Bekas pegawai kanan tentera itu juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Ahmad Zahid ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, Mazlina yang diamanahkan menjaga akaun yayasan dan akaun peribadinya, melakukan kecuaian ketika membuat transaksi pembayaran kad kredit miliknya. – KOSMO! ONLINE