KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya merampas 11 unit alat teknologi penstriman (android box) dianggarkan berjumlah RM7,500 dalam serbuan sebuah pusat membeli-belah di Jalan Bukit Bintang, di sini, 15 September lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, dalam serbuan tersebut dokumen yang disyaki mengandungi karya hak cipta yang dituntut hak oleh pemilik hak cipta turut dirampas.
“Serbuan jam 1.30 petang oleh tujuh anggota KPDNHEP Putrajaya dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta serta risikan awal oleh pihak KPDNHEP selama beberapa hari sebelum itu.
“Serbuan di buat ke atas dua premis berasingan yang terletak dalam pusat membeli-belah tersebut yang menjual ‘android box’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Azman berkata, dua individu tempatan berumur lingkungan 20-an yang mengaku sebagai pemilik dan pekerja di premis terbabit telah ditahan untuk siasatan.
“Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman.
“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Dalam masa sama katanya, semua peniaga turut diingatkan agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini atau tindakan tegas akan diambil.
“Pihak kementerian ingin mengingatkan kepada semua peniaga agar tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini kerana tindakan penguatkuasaan serta pemantauan berterusan akan dilakukan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh salurkan aduan kepada pihak kementerian,” katanya. – KOSMO! ONLINE