fbpx

Orang Asli Jahai lindungi Harimau Malaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK Orang Asli suku Jahai berpakaian seperti seekor harimau bagi meraikan sambutan Hari Harimau sedunia baru-baru ini.

DARI jauh kelihatan sukarelawan sedang melukis wajah Harimau Malaya di muka anak-anak Orang Asli dari suku Jahai.

Keterujaan jelas terpancar di wajah kanak-kanak tersebut apabila mereka berpenampilan seperti seekor anak Harimau Malaya pada hari tersebut.

Tujuan anak-anak tersebut berpenampilan sedemikian adalah untuk meraikan sambutan Hari Harimau Sedunia dan juga pelancaran unit rondaan Orang Asli yang diadakan di Kampung Bongor di Taman Negeri Royal Belum, Gerik, Perak.

Pelbagai aktiviti yang memupuk rasa kecintaan dan sayang terhadap Harimau Malaya dalam kalangan komuniti Orang Asli di situ dilaksanakan.

Presiden Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (Rimau), Lara Ariffin  berkata, Harimau Malaya adalah khazanah negara yang tidak ternilai dan ia perlu dipelihara.

MUKA seorang kanak-kanak dilakar wajah harimau.

Menurutnya, pada satu ketika haiwan yang dikenali sebagai raja rimba itu banyak di dalam hutan, tetapi kini populasinya semakin berkurang.

“Orang Asli dari etnik Jahai ini adalah penjaga warisan di sini dan mereka berperanan penting

dalam melindungi haiwan liar termasuk harimau yang ada dalam hutan.

“Oleh itu, mengadakan sambutan ini di perkampungan Orang Asli bagi memupuk rasa untuk Bersama melindungi haiwan liar terutamanya harimau adalah langkah tepat,” katanya.

Kerjasama antara Yayasan Sime Darby dan Perbadanan Taman Negeri Perak (PSPC) turut melancarkan pasukan unit rondaan komuniti Orang Asli dikenali sebagai Menraq bagi

melindungi haiwan liar, lebih-lebih lagi Harimau Malaya dari sebarang ancaman.

Menraq dalam dialek Jahai membawa maksud orang.

Dalam pada itu, tindakan segera dalam melindungi Harimau Malaya perlu diambil bagi melindungi haiwan itu daripada pupus.

Ini selepas laporan terkini Survei Harimau Kebangsaan Pertama di 75 peratus daripada 44,000 kilometer persegi plot kajian dari 2016-2018 mendapati, jumlahnya kurang dari 200 ekor.

Jika tiada usaha diambil, haiwan itu dijangka pupus dalam tempoh sedekad dengan bilangan populasinya kini yang amat membimbangkan.

KANAK-KANAK Orang Asli suku Jahai melakukan persembahan dengan memakai kostum seperti seekor harimau.

Lara berkata, pihaknya akan terus menjalinkan kerjasama dengan komuniti Orang Asli dengan memberi peluang kepada kanak-kanak di situ untuk belajar menulis dan membaca.

Menurutnya, mereka juga menubuhkan pasukan Menraq Muda supaya kanak-kanak di situ dapat

belajar tentang apa yang ada dalam hutan dan bersama menjaga harimau dan juga haiwan liar lain.

“Kami komited dalam menyelamatkan Harimau Malaya dan yakin masyarakat tempatan mampu

memainkan peranan penting dalam pemuliharaannya.

“Bagi memastikan haiwan ini selamat daripada pemburu haram, kita perlu memperluaskan lagi usaha rondaaan di negeri-negeri lain di Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah PSPC, Shah Redza Hussein berkata, Orang Asli telah mendiami kawasan itu sejak sekian lama.

Menurutnya, tidak ada orang lain yang boleh menjaga hutan dan juga haiwan liar di situ kecuali mereka.

“Mereka memainkan peranan penting dalam usaha melindungi hutan dan juga haiwan liar yang dilakukan nenek moyang mereka sejak dahulu.

“Justeru, mereka perlu hidupkan kembali tradisi ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI