PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan penunggang basikal berkonvoi bukan sahaja menyusahkan pengguna jalan raya lain, malah turut membahayakan diri sendiri.
Ini kerana mereka bukan sahaja berkonvoi dalam kelompok besar, malah turut menggunakan sebahagian jalan raya sehingga sukar kenderaan lain memotong.
Menerusi satu perkongsian klip video di laman sosial, kumpulan berbasikal tersebut seolah-olah tidak mempedulikan pengguna jalan raya yang lain walaupun ada kenderaan mengekori dari belakang.
Lebih membahayakan, laluan yang digunakan mereka itu sempit, berselekoh malah ada sesetengah mereka menunggang secara beriringan.
Menurut perakam, dia kesal dengan tindakan kumpulan tersebut kerana telah mengabaikan aspek keselamatan serta menganggu laluan pengguna jalan raya yang lain.
“Tengok geng-geng hobi mahal ni, macam manalah aku nak potong (memotong), sudahnya aku sekali kena ikut dari belakang.
“Sepatutnya kalau konvoi seramai ini perlu ada pengiringlah depan belakang. Aku bawa kereta tak sampai 40 (kmh), kalau memotong tak lepas konvoi ini panjang macam kena potong empat buah treler” ujarnya.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi dan tarikh video itu dirakam.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna mengecam tindakan konvoi berbasikal itu kerana ia menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.
“Paling meluat tengok geng-geng ni, menyusahkan padahal banyak lagi tempat yang selamat untuk kayuh basikal,” tulis Yus Rie.
“Tak perlu pengiring,mereka kena pecah dan sebaris, memudahkn kereta lalu, kalau macam tu dia sukar kereta nak potong. Harap penunggang basikal lebih prihatin,” kata Amiesta Kuzami.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Clement Sim.
“#JPJMalaysia sila ambil perhatian tentang perkara ini, mengganggu dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain. Aktiviti berbasikal ramai-ramai macam ini agak tidak sesuai dilakukan di kawasan jalan raya, amat bahaya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE