fbpx

Kerajaan komited pastikan kanak-kanak dapat pendidikan menyeluruh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. - FOTO HAFIZ JOHARI

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia mengesahkan komitmen untuk terus menyokong, melibatkan diri serta bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan semua kanak-kanak di negara ini mendapat pendidikan sempurna.

Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapannya sempena Transforming Education Summit (TES) 2022 hari ini yang antara lain menyifatkan usaha mencapai matlamat pembangunan mampan sebagai satu tanggungjawab global.

Perdana Menteri berkata, pendidikan adalah hak asasi yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia serta penting untuk pembangunan masyarakat harmoni.

“Oleh itu, Malaysia terus memastikan sistem pendidikan lebih saksama, inklusif, relevan, dan berdaya tahan dalam menghadapi krisis seperti Covid-19 dan sebarang kejutan lain pada masa hadapan.

“Susulan itu, kami terus mengukuhkan perkongsian dengan institusi dan industri untuk berkongsi pengalaman seterusnya mewujudkan pelbagai jenis inovasi,” katanya.

TES 2022 diadakan di New York, Amerika Syarikat bermula 16 hingga 19 September 2022 dengan memberi tumpuan kepada usaha untuk mewujudkan pendidikan terbaik kepada kanak-kanak global menerusi pelbagai kaedah bersesuaian.

Ismail Sabri berkata, antara langkah transformasi utama dilakukan Malaysia termasuklah memperkenalkan konsep menyeluruh yang dipanggil Sekolahku Sejahtera dengan menggariskan sebanyak 14 elemen.

“Kami juga mewujudkan sistem data amaran awal untuk merancang intervensi serta mengurangkan kadar keciciran.

“Malaysia juga memasukkan komponen Education for Sustainable Development (ESD) dan Global Citizenship Education (GCED) dalam kurikulum kebangsaan untuk menggalakkan budaya keamanan tanpa kekerasan kepada pelajar sejak muda,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, pihaknya turut menekankan pembelajaran secara maya melalui Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) sekali gus membolehkan pelajar mempunyai kecekapan digital.

“Kami juga menggalakkan kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta aktiviti ekstrakurikuler dalam usaha menyediakan pelajar pengalaman pembelajaran secara holistik,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI