fbpx

Kemelut sukan angkat berat cemari Sukma 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL AFIQAH menjerit sepuas hatinya selepas berjaya meraih pingat emas dalam acara angkat berat 45kg pada Sukma MSN 2022 di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya semalam. – FARIZ RUSADIO

MAJLIS Sukan Negara (MSN) bersedia melakukan pertemuan dua mata dengan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) terutama perbincangan mengenai rekod kebangsaan yang di­cipta pada edisi kali ini selepas badan induk itu menarik diri dari­pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

PABM ‘meninggalkan’ Sukma MSN 2022 kelmarin disebabkan isu doping melanda dua atlet dari Terengganu dan seorang dari Perlis. Namun, tindakan PABM menggantung dua buah negeri untuk bertanding tidak mendapat persetujuan.

Kesannya, menyebabkan rekod kebangsaan yang dicipta atlet Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri dalam acara 45 kilogram (kg) akhir tidak diiktiraf, sekali gus merugikan segala usaha dan latihannya selama ini.

Susulan itu, MSN mengambil pendirian untuk mengambil alih tugas mengendalikan sukan itu memandangkan setiap negeri sudah membuat persiapan rapi selain atlet turut sama sudah menantikan temasya ini sejak edisi di Perak 2018.

Timbalan Ketua Pengarahnya, Suhardi Alias berkata, MSN sentiasa bersikap terbuka berbincang dengan PABM untuk memboleh­kan rekod kebangsaan dilakukan pada Sukma di­terima memandang­kan ia adalah satu pencapaian atlet bertanding.

“Mungkin akan ada perselisihan faham sedikit dan kami akan berunding dengan pihak persatuan supaya rekod dicipta ini diiktiraf kerana apa yang paling penting adalah atlet itu sendiri.

“Ini kerana mereka (atlet) sudah menunjukkan prestasi dan memecah rekod kebangsaan, jadi kita perlu menghargai pencapaian dilakukan mereka itu,” kata Suhardi ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke venue ang­kat berat di Kompleks Kejiranan Presint 11 semalam.

Suhardi menegaskan, acara sukan angkat berat diteruskan atas rasa tanggungjawab untuk memastikan atlet muda kesemua negeri diberi peluang.

“Jawatankuasa Pengelola Sukma MSN 2022 membuat keputusan bahawa pertandingan dalam acara Sukma ini perlu diteruskan memandangkan kesemua negeri sudah melaksanakan program latihan mereka.

“Kami merasakan adalah tanggungjawab kami untuk memastikan semua atlet muda ini diberikan peluang menonjolkan kebolehan mereka dan ini adalah platform yang sudah lama ditunggu oleh mereka, lebih daripada empat tahun mereka me­nunggu,” kata Suhardi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI